KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Dewan Negara Datuk Mutang Tagal meninggal dunia pada 11.46 pagi tadi di Institut Jantung Negara (IJN) di sini.
Pemergian Mutang pada usia 69 tahun itu disahkan Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara hari ini.
Menurut kenyataan itu, maklumat lanjut berkenaan pengebumian dan majlis penghormatan mendiang akan dimaklumkan kemudian.
“Keluarga mendiang Mutang mengucapkan ribuan terima kasih atas kiriman takziah serta doa yang diberikan dan menghargai ruang masa yang diberikan kepada mereka dalam menghadapi masa yang sukar ini,” menurut kenyataan itu.
Mutang meninggalkan isteri Datin Ho May Leng dan tiga anak.
Sebelum ini, Mutang menerima rawatan di IJN setibanya dari Azerbaijan pada 6 Mei lepas.
Beliau yang melakukan lawatan kerja di negara itu bermula 29 April lepas, pulang lebih awal daripada yang dijadualkan.
Mendiang mengetuai delegasi Malaysia ke Forum Dunia mengenai Dialog Antara Budaya yang berlangsung pada 1 hingga 3 Mei di Baku, Azerbaijan.
Pada 19 Februari lepas, bekas Ahli Parlimen Bukit Mas itu dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-20 menggantikan Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang meletakkan jawatan, susulan dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Pelantikan Mutang mencipta sejarah apabila mendiang yang berasal dari Lawas, Sarawak menjadi pemimpin pertama dari etnik Lun Bawang dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara. – Bernama