KUALA LUMPUR: Garis Panduan Agensi Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) sedang dalam peringkat akhir pindaan, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata pindaan garis panduan Puspal itu antara lain turut mengambil kira pengurusan isu-isu semasa seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), isu raja, kaum dan agama (3R) serta lain-lain.
“Dengan penambahbaikan garis panduan Puspal ini diharapkan kawalan ke atas elemen-elemen negatif yang dinyatakan dapat dipertingkatkan dan seterusnya dapat dinoktahkan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Musoddak Ahmad yang ingin tahu pendirian kerajaan berhubung cadangan penambahbaikan garis panduan hiburan yang ditetapkan, bagi memastikan tiada artis barat berlatarbelakangkan ideologi LGBTQ dibenarkan membuat persembahan di dalam negara.
Mengulas lanjut Teo berkata Jawatankuasa Puspal terdiri daripada 16 keanggotaan membabitkan kementerian, jabatan dan agensi kerajaan termasuklah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Beliau berkata peranan Jakim dalam Jawatankuasa Puspal adalah untuk memberi pandangan dan nasihat dari aspek sensitiviti agama dan umat Islam di Malaysia.
“Sebarang dapatan yang menyentuh isu sensitif seperti dasar negara, keselamatan, keagamaan, perkauman dan kebudayaan serta memudaratkan kepentingan awam akan dibincangkan secara menyeluruh di Mesyuarat Jawatankuasa Puspal sebelum sesuatu keputusan dibuat.
“Maknanya, itu bukan suatu keputusan yang dibuat oleh Kementerian Komunikasi sahaja,” katanya.
Selain itu, Teo berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya yang telah menerbitkan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021 juga merupakan agensi dalam jawatankuasa Puspal.
“Ia bagi memastikan persembahan artis luar negara yang diluluskan adalah berpandukan kepada Teras 1 dan Teras 2 dalam DAKEN iaitu ‘budaya nilai tinggi dan keharmonian masyarakat’,” katanya.
Teo juga memaklumkan semakan latar belakang artis luar negara dilaksanakan bagi setiap permohonan persembahan yang akan diadakan di tempat-tempat awam seperti acara konsert dan nyanyian. – Bernama