LONDON: Putera William akan kembali melaksanakan tugas diraja minggu ini selepas mengambil cuti susulan pembedahan abdomen isterinya, kata Istana Kensington hari ini.
William, 41, anak sulung Raja Charles III dan pewaris takhta Britain, menangguhkan tugas libat urus awam untuk menjaga isterinya, Kate Middleton dan tiga anak mereka selepas baginda dimasukkan ke hospital pada 16 Januari lalu.
Istana memaklumkan, William akan menjalankan upacara di Istana Windsor pada Rabu dan menghadiri gala pengumpulan dana tahunan London Air Ambulance di tengah London pada petang Rabu.
Keluarga diraja Britain berdepan kebimbangan kesihatan berganda pada Januari apabila diumumkan Raja Charles akan dirawat kerana masalah pembesaran prostat dan Kate yang juga Princess of Wales sedang pulih daripada pembedahan abdomen.
Raja Charles keluar dari hospital pada 29 Januari lalu, tiga hari selepas pembedahannya dan hanya beberapa jam selepas Istana Kensington mengumumkan, puteri berusia 42 tahun itu juga meninggalkan klinik selepas menjalani pembedahan.
Ketiadaan mereka menyebabkan kekurangan wakil dalam monarki yang semakin berkurangan, dengan Ratu Camilla, 76, menjadi wajah yang paling berprofil tinggi dalam monarki ketika ketiadaan suaminya.
Proses pemulihan Charles dijangka sehingga akhir Februari, menurut laporan media, manakala Kate dijangka tidak dapat melaksanakan tugas sehingga sekurang-kurangnya 31 Mac, kata Pejabat Istana Kensington.
Raja Charles mendapat pujian kerana bersikap terbuka mengenai keadaannya.
Tiada alasan diberikan untuk kemasukan Kate ke hospital, walaupun pegawai berkata ia tiada kaitan dengan kanser.- AFP