NURZILLA MOHAMAD
SIBU: Hospital Sibu dalam masa terdekat akan dapat menjalankan ujian untuk virus bagi kawasan wilayah tengah.
Ini dapat dilakukan apabila makmal molekul di Jabatan Patologi Hospital Sibu bakal beroperasi tahun ini.
Menurut Pengurus Makmal Jabatan Patologi, Dr Jeff Sia, makmal molekul kini dalam proses pengubahsuaian dan dijangka siap dalam masa terdekat.
“Dengan adanya makmal molekul ini nanti ujian untuk virus bagi wilayah tengah boleh dilakukan di makmal ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan Persatuan Kung Siong Sibu di Hospital Sibu, semalam.
Sumbangan disampaikan oleh Pengerusi Persatuan Kung Siong Sibu, Huong How Hong kepada Pemangku Pengarah Hospital Sibu, Dr Mohamad Ng Siah Huat.
Jelas Huong, sumbangan itu adalah sebahagian daripada aktiviti persatuan untuk tahun ini.
“Kami berharap sumbangan ini akan memberi kemudahan kepada kakitangan makmal yang bertugas.
“Sumbangan terdiri daripada tujuh buah kerusi untuk kegunaan pejabat, dua mesin cetak dan dua unit komputer peribadi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dr Jeff menambah, mereka juga masih menunggu pelbagai kemudahan lain seperti mesin makmal untuk makmal molekul tersebut.