KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi pada sesi awal dagangan pagi ini, mengambil petunjuk daripada prestasi semalaman Wall Street yang kukuh.
Selain itu, pasaran tempatan turut diunjur mengekalkan momentumnya hari ini, dengan minat belian tertumpu terutamanya pada kaunter perbankan, syarikat telekomunikasi kaunter pembinaan.
Pada 9.05 pagi, indeks utama meningkat 1.24 mata kepada 1,449.28 berbanding 1,448.04 yang dicatatkan pada penutup semalam.
FBM KLCI utama dibuka pada paras 1,448.88, mengukuh 0.84 mata.
Pergerakan harga di pasaran secara menyeluruh menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 180 berbanding 108, manakala 259 kaunter tidak berubah, 1,797 tidak diniagakan dan 37 digantung.
Jumlah dagangan 191.09 juta unit bernilai RM78.44 juta.
Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng, pasaran tempatan dijangka mengikuti petunjuk Wall Street, yang akan meningkatkan prestasi bursa tempatan dengan indeks diunjur didagangkan antara paras 1,450 dan 1,460 hari ini.
“Wall Street meningkat apabila Purata Indeks Dow Jones ditutup pada rekod tinggi melebihi paras 37,000 berikutan jangkaan Rizab Persekutuan ia akan mengurangkan kadar faedah sebanyak tiga kali pada 2024 di tengah-tengah trend inflasi yang perlahan,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Nasdaq menambah 200 mata apabila hasil 10 tahun AS susut kepada 4.024 peratus, paras terendah dalam tempoh empat bulan.
Dalam kalangan kaunter berwajaran tinggi utama, Maybank susut dua sen pada RM9.05, Public bank, CIMB, Petronas Chemicals semuanya tidak berubah, masing-masing pada RM4.26, RM5.79 dan RM7.15.
Kaunter untung dalam saham wajaran tinggi diterajui oleh Nestle, yang menokok RM1.30 kepada RM117.30, diikuti oleh Sime Darby Plantation, yang meningkat tiga sen kepada RM4.56.
Axiata dan Press Metal masing-masing menambah dua sen kepada RM2.32 dan RM4.85.
Bagi saham aktif, Sapura Energy, Top Glove, Minetech dan Sarawak Consolidated semuanya peroleh setengah sen dan masing-masing mencatatkan harga 5.5 sen, 88 sen, 7.5 sen dan 81 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 9.05 mata kepada 10,722.83, Indeks FBMT 100 naik 7.39 mata kepada 10,388.41 dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 17.97 mata menjadi 10,833.79.
Indeks FBM ACE pula meraih 1.22 mata kepada 5,152.03 manakala Indeks FBM 70 mengukuh 3.66 mata kepada 14,233.40.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 20.03 mata kepada 7,013.60, Indeks Tenaga untung 3.65 mata menjadi 792.98, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.23 mata kepada 170.97.
Namun begitu, Indeks Perkhidmatan Kewangan kerugian 13.58 mata kepada 16,360.67. – Bernama