KUCHING: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sarawak berjaya membuat tiga serbuan di pusat pengendalian perjudian atas talian di Padawan.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak pada serbuan pertama 7 November lalu telah berjaya menumpaskan satu sindiket perjudian atas talian di kondominium di Lorong Dogan 3.
“Seramai sembilan individu berjaya ditangkap dan dirampas ialah empat unit set komputer, dua unit modem WiFi, lima unit telefon pintar, seunit komputer riba dan seunit soket elektrik.
“Serbuan kedua dan ketiga 8 November lalu juga di sebuah kondominium di Jalan Sunny Hill Garden.
“Seramai 17 individu ditangkap dan pelbagai peralatan turut dirampas iaitu empat unit set komputer, lima unit komputer riba, dua unit modem WiFi dan dua unit soket elektrik,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontingen (IPK) Sarawak, hari ini.
Jelasnya lagi, kesemua 26 individu yang tertangkap terdiri daripada 23 lelaki dan tiga perempuan, merupakan warganegara asing dalam lingkungan umur 18 hingga 33 tahun.
“Kesemua individu merupakan operator pengendalian perjudian atas talian dengan bayaran gaji sebanyak RM1,200 sehingga RM1,600 sebulan,” ujarnya.
Jelasnya lagi, siasatan awal berdasarkan rekod dan transaksi yang disemak, mendapati pusat perjudian tersebut telah beroperasi selama satu tahun tiga bulan yang lalu untuk tempoh 24 jam mengikut syif.
“Dipercayai jumlah keuntungan kasar bagi sindiket tersebut mencecah RM240,000 sebulan dan pihak polis kini sedang mengesan pemilik sebenar premis tersebut.
“Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang mana membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih dari RM50,000 serta hukuman penjara selama tempoh tidak lebih tiga tahun.
“Selain itu hendaklah dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas.
“Kesemua tangkapan direman di bawah akta imigresen selama 14 hari,” jelasnya.
PDRM akan mengambil tindakan tegas kepada individu yang menganjur dan menjalankan kegiatan perjudian haram berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada dalam usaha membanteras aktiviti perjudian di kontinjen Sarawak.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan perjudian bolehlah menyalurkan maklumat tersebut melalui WhatsApp Op Dadu di talian 013-5253052.
Oleh Nickelyson Lakun