SETIAP manusia akan dipertanggungjawabkan atas setiap amalan dan tingkah laku sepanjang tempoh hayat yang dikurniakan kepadanya.
Allah SWT turut menugaskan malaikat Raqib dan Atid untuk mencatat setiap amalan, sama ada yang besar mahupun yang kecil.
Hari perhitungan merupakan hari ketika seluruh manusia dibangkitkan semula selepas kematian untuk menerima pengadilan atas setiap amalan yang dilakukan.
Tiada sesiapa pun yang mampu menyembunyikan perbuatannya atau mengelakkan diri daripada pengadilan Allah SWT kerana setiap amalan, sama ada yang nyata atau tersembunyi, sentiasa berada dalam pengetahuan-Nya.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Zalzalah, ayat 7–8 yang bermaksud: “Maka sesiapa yang berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa yang berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).”
Pada hari ini, kita melihat begitu ramai manusia yang cuai ketika bertutur kata seolah-olah tidak ada malaikat yang mencatat setiap perbuatan, Tuhan Yang Maha Melihat dan hari pembalasan atas setiap amalan yang dilakukan.
Realiti masyarakat masa kini seharusnya menyedarkan kita agar lebih berwaspada dan bertanggungjawab ketika melontarkan pandangan di platform digital.
Sebagaimana Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan Kami akan memasang timbangan yang tepat pada Hari Kiamat, maka tidak seorang pun dirugikan walau sedikit; sekalipun hanya seberat biji sawi, pasti Kami mendatangkannya (pahala atau dosa). Dan cukuplah Kami yang membuat perhitungan.” (Surah al-Anbiya, ayat 47)
Beriman kepada Hari Kiamat
Keyakinan terhadap hari pembalasan hendaklah diterjemahkan dalam bentuk amalan praktikal sepanjang hayat dan bukannya sekadar bersifat ilmu pengetahuan semata-mata.
Seseorang yang benar-benar menghayati kewujudan hari pembalasan akan lebih berhati-hati dalam membuat sebarang keputusan kerana menyedari bahawa setiap tindakan mempunyai pembalasan di akhirat kelak.
Sebagai contoh, pelaksanaan tanggungjawab secara jujur merupakan teras utama bagi seseorang yang memegang amanah dalam kerjaya.
Oleh itu, perbuatan buruk seperti menyalahgunakan dana, memperdaya pelanggan atau merampas hak orang lain demi kepentingan sendiri wajar dijauhi.
Meskipun perbuatan tersebut dapat disembunyikan daripada pengetahuan rakan sekerja atau pihak pengurusan, seseorang Muslim harus sedar bahawa Allah SWT Maha Melihat segala gerak-geri hamba-Nya.
Malah, prinsip amanah ini wajib diterapkan secara menyeluruh dalam segenap aspek kehidupan, termasuk dalam perniagaan, keluarga dan komuniti.
Rasulullah SAW menjelaskan mengenai orang yang tidak menjejakkan kaki ke syurga. Dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Barang siapa yang mengambil harta saudaranya dengan sumpahnya, maka Allah SWT mewajibkan dia masuk neraka dan mengharamkan masuk syurga.”
Lalu seorang lelaki bertanya, “Wahai Rasulullah SAW, meskipun hanya sedikit?”
Baginda menjawab, “Meskipun hanya sebatang kayu araak (kayu untuk bersiwak).” (Riwayat Muslim)
Tambahan pula, kesedaran terhadap hari pembalasan berfungsi sebagai benteng yang menghalang manusia daripada terlalu mendewakan kemewahan duniawi sehingga melalaikan aspek ukhrawi.
Walaupun harta, pangkat dan kedudukan menawarkan keselesaan sementara, semuanya tidak dapat menjamin keselamatan seseorang di hadapan pengadilan Allah SWT.
Hakikatnya, manfaat kurniaan tersebut bergantung sepenuhnya pada cara ia diuruskan. Kekayaan seharusnya dijadikan wasilah untuk menyantuni golongan yang lemah, manakala kuasa pula dipergunakan untuk memartabatkan keadilan serta menyebarkan kemaslahatan.
Allah SWT berfirman agar manusia bertakwa dan meninggalkan segala larangan yang boleh membinasakan diri. Firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah SWT (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah SWT, sesungguhnya Allah SWT Maha Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.” (Surah al-Hasyr, ayat 18)
Pemerintahan Saidina Uthman Bin Affan

SETELAH Saidina Uthman bin Affan dibaiat oleh seluruh umat Islam, beliau memulakan pemerintahannya dengan begitu baik sekali.
Tidak banyak perubahan yang dilakukan oleh Saidina Uthman bin Affan terhadap sistem pemerintahan Saidina Umar. Namun begitu, Saidina Uthman bin Affan lebih mengamalkan corak pemerintahan yang terbuka, penuh toleransi dan lemah lembut.
Semua dasar yang diasaskan oleh Saidina Umar seperti pembayaran gaji tetap kepada para tentera, pengurusan Baitulmal, sistem kehakiman, sistem pentadbiran wilayah dan lain-lain, diteruskan sebagaimana yang dilaksanakan oleh Saidina Umar bin al-Khattab.
Dalam pemerintahannya, para sahabat yang menyertai Perang Badar, selain cerdik pandai dalam kalangan sahabat seperti Ibnu Abbas dilantik menganggotai Majlis Syura.
Selain itu, Saidina Uthman bin Affan turut menulis surat kepada para gabenornya. Kebanyakan gabenor yang telah dilantik oleh Saidina Umar dikekalkan oleh Saidina Uthman bin Affan.
Saidina Uthman bin Affan berpesan kepada mereka agar berlaku adil serta menunjukkan sifat kasih saying dan keprihatin terhadap rakyat di bawah pimpinan mereka.
Saidina Uthman juga berpesan agar para gabenornya mengamalkan sikap yang baik dan amanah dalam memungut cukai serta menjalankan tanggungjawab yang lain.
Di samping itu, Saidina Uthman bin Affan turut menulis surat kepada para panglima pasukan.
Kandungan surat beliau adalah seperti berikut:- “Amma ba’du, maka sesungguhnya kamu semua adalah penjaga dan pembela kaum Muslimin. Umar telah meletakkan aturan untuk kalian berdasarkan hasil musyawarahnya dengan kami. Maka jangan sampai ada di antara kamu yang mengubah atau menggantinya. Jika tidak, Allah SWT akan menggantikan kamu. Maka perhatikanlah bagaimana kamu seharusnya bertindak. Sesungguhnya aku juga memperhatikan apa yang telah ditetapkan Allah SWT untuk diperhatikan dan dilakukan”.
Saidina Uthman bin Affan turut mengumumkan kepada seluruh rakyat di bawah pemerintahannya agar mereka membuat aduan kepadanya sekiranya terdapat gabenor atau pegawai yang melakukan penganiayaan dan penindasan terhadap mereka.
Apa yang menarik tentang Saidina Uthman bin Affan ialah beliau tidak mengambil sebarang gaji daripada Baitulmal, sebagaimana Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar. Hal ini demikian kerana beliau tergolong dalam kalangan orang yang terkaya di Madinah.
Sehubungan dengan itu, beliau merasakan bahawa negara tidak perlu menanggung perbelanjaan hariannya. Oleh itu, beliau menyara diri dan keluarganya dengan harta miliknya sendiri.
Ini bermakna Saidina Uthman bin Affan mempunyai sumber pendapatan daripada harta miliknya yang banyak.
Hanzalah Azman





