SEPANG: Malaysia bersedia untuk menghantar lebih banyak sarung tangan getah untuk kegunaan pasukan perubatan di Semenanjung Gaza, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata, sarung tangan getah merupakan antara keperluan mendesak di Semenanjung Gaza ketika ini.
“Memang kita (Malaysia) mendapat maklumat bahawa sarung getah amat diperlukan (di Gaza) dan kita masih menanti pengesahan jumlah sebenar yang diperlukan mereka,” katanya kepada media selepas menyaksikan pelepasan penghantaran kedua bantuan barangan kemanusiaan untuk rakyat Palestin menerusi Ops Ihsan di sini, semalam.
Fadillah berkata, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) melalui Majlis Getah Malaysia telah mengumpul 100,000 sarung tangan getah yang akan dihantar ke Semenanjung Gaza menerusi Ops Ihsan yang dikendalikan Kementerian Luar.
“Kita (KPK) sudah berhubung dengan syarikat pengeluar (sarung tangan getah) dan kalau diperlukan lagi mereka bersedia untuk menyediakan sumbangan itu,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan Jismi Johari berkata, Malaysia menerusi Ops Ihsan bercadang mewujudkan satu hab kemanusiaan di Kaherah yang akan diselia semua badan bukan kerajaan (NGO) bernaung di bawah Ops Ihsan.
Beliau berkata, pasukan terbabit akan ke Kaherah minggu depan untuk memastikan perancangan itu dapat dilaksanakan dengan lancar.
Ops Ihsan merupakan inisiatif yang dilancarkan Kementerian Luar bersama lebih 50 NGO antaranya Global Peace Mission Malaysia, Mercy Malaysia, BeVital, MyAqsa Defenders, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Cinta Gaza Malaysia dan Malaysian Relief Agency (MRA).
Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sejak 7 Oktober lepas telah mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa. – Bernama