ZARINA ABDULLAH
KUCHING: Semua Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) negeri boleh memohon Skim Mikro Kredit Sarawak (SKMS) yang bernilai keseluruhan RM50 juta bermula hari ini (1 April).
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, skim itu adalah terbuka kepada semua PKS rakyat Sarawak sama ada Bumiputera atau bukan Bumiputera yang berjumlah kira-kira 62,000.
“Permohonan boleh dibuat secara atas talian atau memuat turun borang permohonan di laman sesawang Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Agrobank atau boleh menghubungi agensi-agensi tersebut,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan berkata demikian pada sidang media Skim Kredit Mikro Sarawak di sini, semalam.
“Objektif utama SKMS adalah untuk menyediakan kemudahan pinjaman atau pembiayaan mudah kepada usahawan kecil untuk mengembangkan perniagaan mereka.
“Namun, atas keprihatinan untuk meringankan beban dan memudahkan usahawan yang terkesan daripada situasi yang dihadapi sekarang Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bersetuju untuk menambah peruntukan sebanyak RM20 juta sebagai tambahan kepada peruntukan RM30 juta yang diluluskan dahulu bagi SKMS ini,” ujarnya.
Menurutnya, skim itu terbahagi kepada dua iaitu SKMS I menyediakan pinjaman atau pembiayaan dari RM1,000 hingga RM10,000 dengan tanpa kadar faedah atau kadar keuntungan kepada usahawan B40.
“Manakala SKMS II menyediakan pinjaman atau pembiayaan dari RM5,000 hingga RM50,000 dengan kadar faedah atau kadar keuntungan sebanyak 4 peratus berdasarkan baki bulanan berkurangan kepada usahawan mikro dan kecil.
“Dan sebagai langkah untuk meringankan beban kewangan PKS, Kerajaan Sarawak akan membenarkan penangguhan bayaran balik selama enam bulan (dari April hingga September) untuk peminjam skim ini.
“Pada masa yang sama, kerajaan juga mengumumkan penangguhan pembayaran balik selama enam bulan bagi peminjam Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS) yang memberi manfaat kepada seramai 144 peminjam SPIKS,” jelasnya.
Tambahnya, PKS adalah pemacu utama kepada pembangunan ekonomi negara dengan 98 peratus daripada perusahaan negara termasuk Sarawak adalah terdiri daripada PKS yang turut menyumbang secara signifikan kepada keperluan tenaga kerja.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua usahawan tempatan untuk memanfaatkan kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak.