MANCHESTER, England: Erling Haaland menyumbat dua gol ketika Manchester City mencetus lebih banyak kepedihan buat Manchester United menerusi kemenangan 3-0 di Old Trafford sekali gus merapatkan diri dua mata di belakang pendahulu liga Tottenham.
Haaland menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-26 dan menanduk masuk gol kedua empat minit selepas rehat sebelum mengumpan gol ketiga City jaringan Phil Foden pada minit ke-80.
City memulakan perlawanan itu di luar kelompok empat teratas selepas permulaan tidak sempurna dalam kempen mempertahankan kejuaraan mereka.
Namun anak buah Pep Guardiola kekal menjadi pasukan pilihan untuk merangkul kejuaraan liga utama Inggeris buat kali keempat berturut-turut dan mereka mempamerkan satu jurang besar berbanding jiran tetangga mereka untuk melonjak ke tangga ketiga.
Kekalahan kelima dalam 10 perlawanan liga musim ini menyaksikan United merudum ke tangga kelapan, 11 mata berbanding pendahulu.
“Sentiasa istimewa buat kami untuk menang di sini di Old Trafford.
“Ia kelihatan seperti mudah tetapi sebenarnya tidak. Kami amat menghormati United. Kami tidak berada pada tahap terbaik kami, terutama pada babak kedua,” kata Guardiola.
Pemain legenda United, Bobby Charlton sekali lagi diingati sebelum sepak mula ketika legenda daripada kedua-dua kelab yang beraksi bersama dan menentang pemenang Piala Dunia 1966 itu disambut di tengah padang sebelum menerima tepukan selama satu minit.
Selepas satu permulaan musim yang buruk, United menang tiga perlawanan terakhir mereka namun dengan cara yang kurang memberangsangkan menentang Brentford, Sheffield United dan FC Copenhagen.
Bagaimanapun, pengurus Erik ten Hag mendakwa sepakan penalti yang diberi secara kontroversi pada pertengahan babak pertama mengubah haluan perlawanan itu.
“Kami bermain amat bagus pada babak pertama, kami bertahan dengan cemerlang. Kami ada peluang baik tetapi kami gagal mengambil peluang itu. Kemudian sepakan penalti mengubah perlawanan,” jelasnya.
Andre Onana menyelamatkan sepakan penalti pada saat terakhir bagi memastikan kemenangan penting Liga Juara-Juara ke atas Copenhagen pada pertengahan minggu yang boleh menjadi titik perubahan kariernya di United selepas permulaan sukar.
Bagaimanapun, penjaga gol Cameroon itu tidak dapat mengulangi persembahan terpujinya apabila VAR mencelah untuk menganugerahkan City sepakan penalti pertama mereka di Old Trafford sejak 1992 selepas Rodri dijatuhkan oleh Rasmus Hojlund.
Haaland dikritik akhir-akhir ini kerana gagal memenuhi ketajaman sebenarnya di depan gol.
Namun pemain Norway itu kini mengumpul 11 gol dalam 10 perlawanan Liga Perdana Inggeris musim ini apabila mengelirukan Onana menerusi sepakan penalti. – AFP