BAYERN Munich memiliki kelebihan 10 mata di puncak liga selepas membelasah pasukan yang sedang bergelut di zon penyingkiran Fortuna Dusseldorf 5-0 awal pagi semalam dan kemenangan itu dibantu dengan dua gol melalui penjaring terbanyak Bundesliga, Robert Lewandowski.
Pertahanan Dusseldorf, Mathias Joergensen menjaringkan gol sendiri di awal saingan, sebelum Benjamin Pavard menyumbat gol kedua, diikuti dengan jaringan berturut-turut oleh Lewandowski dan Alphonso Davies turut mencatat nama sebagai penjaring.
Ketika berbaki lima lagi perlawanan, Bayern, yang mencatat lapan kemenangan liga sebelum ini berada di landasan terbaik untuk muncul juara buat kali kelapan berturut-turut.
Bagaimanapun, pasukan ditangga kedua, Borussia Dortmund mampu merapatkan jurang apabila bakal berdepan Paderborn iaitu pasukan tercorot.
Beberapa rekod dapat dicatatkan dalam aksi awal pagi semalam dengan Lewandowski telah menyumbat 43 gol dalam semua saingan, pencapaian terbaik sepanjang musim buat penyerang kelahiran Poland itu.
Jurulatih, Hansi Flick pula meraih kemenangan ke-22 dalam 25 perlawanan awal, mengetepikan rekod Pep Guardiola ketika kali pertama memimpin skuad berkenaan pada 2013.
“Statistik dan rekod tidak menarik perhatian saya, apa yang penting ialah kejayaan semusim.
“Di Bayern Munich, anda hanya menjangkakan kemenangan. Saya sangat gembira, kerana kami sangat agresif dan tidak memberikan mereka peluang,” kata Flick dalam penampilan pertamanya musim ini menggantikan Niko Kovac November lalu.
Sementara itu, Werder Bremen cuba untuk meningkatkan harapan mereka kekal di Bundesliga selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Schalke.
Hertha Berlin pula kekal tanpa kalah selepas Bruno Labbadia mengambil alih pasukan berkenaan sejak perintah berkurung apabila mengalahkan Augsburg 2-0.
Hoffenheim yang berada di tangga ketujuh berjaya mengalahkan Mainz 1-0 hasil jaringan tunggal Ihlas Bebou pada minit ke-43.
Dalam pada itu, tiada lagi yang dikesan positif dalam ujian terkini Covid-19 yang dilakukan dalam kalangan pemain dan staf Liga Perdana Inggeris (EPL).
Ujian rambang kali keempat ini membabitkan 1,130 pemain dan staf, dengan tidak terdapat kes baru ini dapat memperkukuhkan lagi perancangan untuk penyambungan semula EPL pada 17 Jun.
“EPL semalam mengesahkan ujian Covid-19 Khamis dan Jumaat lalu membabitkan 1,130 pemain dan staf. Hasilnya, tiada yang positif,” jelas EPL dalam satu kenyataan.
Ini bermakna hanya 12 kes positif membabitkan 3,882 ujian ke atas pemain dan staf EPL yang mula dijalankan awal bulan lalu.
Sementara itu, kerajaan Britain, meluluskan untuk saingan sukan kompetitif domestik diadakan tanpa kehadiran penonton bermula hari ini.
Saingan utama profesional dihentikan sejak Mac lalu berikutan penularan wabak Covid-19.
Bagaimanapun, ketika kebanyakan negara masih lagi melakukan perintah berkurung, Setiausaha Media, Kebudayaan dan Sukan, Oliver Dowden berkata, kerajaan mahu menyambung kembali perkara normal dalam kehidupan masyarakat selepas beliau mengumumkan beberapa acara sukan dibenarkan diadakan semula.
“Selepas lebih dua bulan acara sukan dihentikan dan selepas beberapa minggu perbincangan menyeluruh bersama pakar perubatan dan profesional dalam badan sukan, saya di sini berbesar hati untuk mengumumkan bahawa kerajaan sudah mengeluarkan panduan membenarkan sukan kompetitif disambung semula tanpa kehadiran penonton bermula paling awal hari ini.
“Bola sepak, tenis, lumba kuda, Formula Satu (F1), kriket, golf, ragbi, snuker dan lain-lain semuanya bersedia untuk kembali ke kaca televisyen dalam masa terdekat,” kata Dowden dalam sidang media.-AFP