KUALA LUMPUR: Tiga beregu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Pearly Tan-M.Thinaah (beregu wanita) dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran) mara ke peringkat suku akhir Kejohanan Dunia 2023 di Royal Arena, Copenhagen, Denmark.
Juara semasa beregu lelaki Aaron-Wooi Yik yang ketinggalan dalam sebahagian besar set pembukaan semasa menentang Juara Sukan Olimpik Lee Yang-Wang Chi-Lin dari Taiwan, bangkit untuk memenanginya 21-16 dan memastikan tempat mereka di suku akhir dengan memenangi set kedua 21-18 dalam perlawanan pusingan ketiga kejohanan dunia itu.
Beregu pilihan keenam kejohanan Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi menanti pilihan keempat kejohanan Aaron-Wooi Yik selepas beregu China itu mara ke suku akhir dengan menyingkirkan wakil Taiwan Lu Ching Yao-Yang Po Han, 24-22, 21-16.
Sebaliknya, cabaran beregu profesional negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dalam kejohanan dunia kali ini berakhir selepas mereka tumpas kepada pasangan tuan rumah Kim Astrup-Anders Rasmussen, 15-21, 10-21.
Man Wei Chong-Tee Kai Wun juga mengalami nasib sama selepas ditewaskan beregu pilihan ketiga dari China Liang Wei Keng-Wang Chang, 16-21, 21-14, 17-21.
Pada masa sama. beregu utama wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah mempamerkan aksi mengagumkan dan mengejutkan beregu pilihan keempat dari Jepun Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara, 21-14, 22-20 untuk mara ke suku akhir.
Beregu pilihan ke-10 kejohanan itu akan berhadapan dengan beregu pilihan keenam dari China Zheng Su Xian-Zheng Yu yang turut melangkah ke suku akhir selepas menundukkan beregu Belanda Kirsten de Wit-Alyssa Tirtosentono, 21-13, 21-10.
Sementara itu beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei bangkit selepas tewas dalam set pertama untuk beregu pilihan ke-14 itu mara ke suku akhir menewaskan pasangan pilihan ketujuh dari Perancis Thom Gicquel-Delphine Delrue, 20-22, 21-19, 21-12.
Tang Jie-Ee Wei akan bertemu pasangan pilihan kedua Yuta Watanabe-Arisa Higashino dari Jepun yang menyingkirkan beregu Indonesia Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati, 21-14, 21-17.
Bagaimanapun, beregu campuran profesional Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie ditunjukkan jalan keluar oleh wakil China Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, setelah tewas 16-21, 18-21. – Bernama