PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk mendapatkan sementara pasportnya ke Singapura bagi membolehkannya melawat anaknya Nooryana Najwa Mohd Najib yang dijangka melahirkan anak ketiga hujung bulan ini.
Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin membenarkan permohonan Rosmah selaku pemohon selepas peguamnya Datuk Jagjit Singh memaklumkan bahawa anak guamnya perlu ke negara itu kerana anak sulungnya, Nooryana akan bersalin dalam masa terdekat.
“Anak guam saya memohon pasport itu bagi membolehkannya ke Singapura esok hingga 23 Ogos, 26 Ogos hingga 6 dan 9 September hingga 31 Oktober ini. Pihak pendakwaan juga tidak membantah permohonan ini,” kata Jagjit.
Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn mengesahkan pihaknya tidak membantah permohonan berkenaan.
Isteri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu selaku pemohon memfailkan notis usul pada 11 Ogos lepas menerusi Tetuan Akberdin & Co. bagi membolehkannya melawat Nooryana yang dijangka bersalin pada 28 Ogos ini serta keluarganya di Singapura.
Dalam notis usul itu, Rosmah berkata, sehingga ke hari ini beliau tidak pernah gagal atau cuai untuk hadir ke mahkamah bagi sebutan dan perbicaraan tanpa sebab atau alasan yang munasabah.
Menurut Rosmah, beliau akan pulang ke Malaysia untuk menghadiri prosiding rayuan kes rasuah membabitkan projek hibrid solar.
Sebelum ini, Mahkamah Rayuan menetapkan 18 September ini untuk pengurusan kes.
Ini adalah kali keempat Rosmah memohon untuk mendapatkan pelepasan pasport antarabangsa untuk ke Singapura, kali pertama pada 15 Oktober 2021 untuk melawat Nooryana yang melahirkan anak keduanya, pada 21 Mac lepas untuk melawat anak dan cucunya yang tidak sihat, dan pada 15 Jun bagi melawat anak perempuannya itu.
Nooryana telah berkahwin dengan warga Kazakhstan, Daniyar Kessikbayev dan pasangan itu kini menetap di Singapura.
Pada 1 September 2022, Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap Rosmah selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Mahkamah turut memerintahkan Rosmah, 71, dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan. – Bernama