KANOWIT: Terdapat 215 rumah panjang di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah dengan lebih kurang 40 tuai rumah belum mendapat surat lantikan.
Selain 113 tuai rumah di kawasan DUN tersebut akan tamat lantikan pada akhir tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana justeru mengingatkan pemilihan ketua kaum perlu dilaksanakan sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum tarik luput lantikan tamat.
“Ini bagi memudahkan urusan untuk dihantar ke Pejabat Daerah bagi tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian merasmikan projek jalan simen halaman Rumah Chayok Gambal di Nanga Dap, baru-baru ini.
Pada masa sama, Anyi turut menerangkan projek-projek kerajaan negeri seperti Projek Perumahan Rakyat Dimiliki (PPRM), Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) kepada penduduk yang hadir.
Tegasnya, penduduk rumah panjang yang menerima projek diharapkan memberi kerjasama penuh kepada pihak kontraktor dan juga agensi pelaksana supaya projek dapat dilaksanakan dengan lancar mengikut tempoh yang ditetapkan.
Projek menyimen jalan halaman Rumah Chayok itu dilaksanakan di bawah peruntukan RTP DUN Ngemah 2022 dan Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Sibu sebagai agensi pelaksana projek.
Pada program tersebut, Anyi telah meluluskan geran MRP RM2,000 kepada Biro Wanita Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Chayok.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Parti Rakyat Sarawak (PRS) Bahagian Ngemah, Ramba Resang, Penghulu Bennet Jentan dan Tuai Rumah Chayok.
Oleh TARANI LANTING