KAPIT: Tiga terselamat selepas kenderaan yang dinaiki terlibat dalam kemalangan kendiri di Jalan Mumu, Kapit-Song di sini pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian sekitar 7.44 pagi lalu mengerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit dan Song ke lokasi kejadian.
Katanya, kemalangan kendiri melibatkan sebuah kereta perodua Axia telah hilang kawalan dan terbabas di bahu jalan.
“Mangsa berumur 25 tahun mengalami kecederaan pada bahagian kaki manakala, mangsa berumur 30 tahun mengadu sakit di bahagian dada dan seorang lagi mangsa berumur 30 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Ketiga-tiga mangsa tidak terperangkap dan telah dikeluarkan oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.
Kesemua mangsa dihantar ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan jentera EMRS.