SARIKEI: Seramai 12 penyewa di Bazar Majlis Amanah Rakyat (MARA) menerima Sijil Pengiktirafan Bersih, Selamat dan Sihat (BeSS), malam tadi.
Pengarah MARA Sarawak, A.Razu Abdul Razak berkata, MARA ialah agensi kerajaan memfokuskan pembangunan sosioekonomi usahawan Bumiputera terutama di Sarawak.
Katanya, majlis penyerahan Sijil Pengiktirafan BeSS anjuran bersama pihaknya dengan Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB) Sarikei bertujuan menyerahkan sijil pengiktirafan BeSS kepada penyewa di Bazar MARA.
“Ia bertujuan untuk memastikan bahawa penyewa-penyewa mengekalkan kualiti makanan dengan lebih baik dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual para pemberita selepas selesai Majlis Penyerahan Sijil Pengiktirafan BeSS bertempat di Bazar MARA, malam tadi.
Katanya, matlamat pihaknya jelas untuk membantu pembangunan usahawan di negeri ini.
“Selain daripada premis MARA yang kita ada, gerai-gerai, kilang-kilang, bazar Mara dan sebagainya, kita membantu usahawan dari segi pembiayaan perniagaan kepada usahawan-usahawan yang layak.
“Kita ada pelbagai jenis skim pembiayaan sama ada perniagaan itu dari segi kontrak, atau gerai makanan, selagi mana mencukupi syarat-syarat boleh memohon kemudahan pembiayaan MARA.
“Kita juga ada geran-geran tertentu yang kita boleh berikan kepada usahawan, contohnya skim Program Pembangunan Usahawan Teknikal (PUTEK),” katanya.
Ujarnya, pada masa sama, pihaknya turut menyediakan bantuan latihan keusahawanan kepada usahawan-usahawan yang memerlukan dari segi ‘soft skill’ dan ‘hard skill’ terutama kepada usahawan di negeri ini.
“Sambutan para usahawan Sarawak amat menggalakkan terutama melibatkan permohonan pembiayaan perniagaan.
“Pengisian di premis kita juga agak lebih tinggi, melebihi 95 peratus yang menyewa di premis bangunan MARA.
“Walau bagaimanapun, kita akan sentiasa melipatgandakan usaha untuk memastikan bahawa kesemua usahawan MARA di Sarawak jelas tentang wujudnya MARA ini bagi membantu sama ada dari segi pembangunan keusahawanannya, pembiayaan perniagaan, premis perniagaan dan sebagainya,” katanya lagi.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Kesihatan Awam (Keselamatan dan Kualiti Makanan) Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Mohamad Jefri Crossley dan Pegawai Kesihatan Bahagian Sarikei Dr. Johny Kelak.
Oleh EARL ANEK