BAU: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato’ Sri Nancy Shukri menyasarkan penyertaan seramai 100,000 usahawan wanita sebagai penerima bantuan melalui program Wanita Bangkit.
“Saya berharap program ini mampu mencapai ramai usahawan wanita, untuk hari ini di Bau ini sahaja sudah mencapai 500 wanita, jadi inshallah kita boleh capai sehingga 100,000 penerima.
“Sasaran ini kita mungkin akan capai pada tahun depan, ini bukan bermakna kita tidak boleh capai sasarannya pada tahun ini, namun kita mempunyai banyak lagi program-program dan kerja lain yang kita jalankan.
“Walaupun kita (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat – KPWK) bukan kementerian yang bertanggungjawab untuk menjaga golongan usahawan, kita hanya ingin membantu khususnya yang di rumah dan tiada lesen.
“Mereka mempunyai bakat dan keinginan untuk berniaga, sebagai Kementerian yang bertanggungjawab ke atas keluarga kami prihatin akan wanita yang menjaga keluarganya dan memerlukan bantuan,” katanya.
Menurut beliau, melalui pemantauan fasa pertama selepas tiga bulan menerima bantuan MyKasih Kapital penemuan mendapati 90 peratus peserta dapat terus menjana pendapatan dengan hanya berniaga di rumah dengan lingkungan purata pendapatan RM500 hingga RM1,000 sebulan.
“Selain itu, 10 peratus lagi telah meningkat ke fasa seterusnya dengan pendapatan RM1,000 hingga RM3,000 sebulan.
“Sekarang ini kita memantau selama tiga bulan selepas mereka menerima bantuan ini, pihak sukarelawan kami akan melakukan susulan kepada usahawan wanita yang sudah menerima bantuan ini,” katanya pada Program Keusahawanan Wanita Bangkit di Dewan Suarah Bau di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, setakat ini seramai 20,100 wanita seluruh negara menyertai program Wanita Bangkit.
Kata Nancy lagi, pada tahun ini sahaja seramai 5,330 peserta seluruh negara menyertai program tersebut.
“Program ini merupakan bantuan keusahawanan.
“Mereka yang mendaftar untuk program ini diberikan modal perniagaan, diberikan bimbingan dan motivasi serta dihubungkan dengan perniagaan daripada mentor berpengalaman yang juga rakan strategik kementerian.
“Program Wanita Bangkit atau juga dikenali sebagai MyKasih Kapital adalah bantuan kepada golongan wanita yang terkesan akibat pandemik Covid-19 untuk memulakan perniagaan dengan modal kecil yang tidak termasuk di bawah skim yang disediakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), TEKUN dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), ” jelasnya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT