KUCHING: Kerajaan Persekutuan harus mempertimbangkan untuk melaksanakan program perkhidmatan ketenteraan sukarela kepada belia yang menganggur untuk berkhidmat kepada negara, kata Senator Dato’ Ahmad Ibrahim.
Jelasnya, dengan peningkatan kadar pengangguran di seluruh dunia termasuk Malaysia, kerajaan mesti memikirkan penyelesaian untuk menangani isu itu.
“Salah satu penyelesaian yang boleh mereka pertimbangkan ialah melaksanakan program perkhidmatan ketenteraan sukarela untuk golongan muda yang menganggur untuk mengambil masa dua tahun, pada gaji minimum.
“Setelah selesai, mereka kemudian boleh berusaha untuk bekerja di sektor awam atau swasta atau bahkan dalam penguatkuasaan undang-undang seperti menyertai pasukan polis,” katanya dalam satu kenyataan.
Lepasan sekolah kemudiannya akan dilatih menjadi individu yang berdisiplin dan pemikir kritis.
“Adalah baik kita mendisiplinkan anak muda kita dan memberi pendedahan kepada mereka.
“Apabila mereka didisiplin oleh tentera, mereka akan memikirkan kesetiaan kepada negara dan Raja.
“Malah mereka akan tunjukkan rasa cintakan bangsa, negara dan rakyat.
“…Dan dengan adanya program ini juga akan menyatupadukan golongan belia supaya mereka lebih berfikiran terbuka.”
Senator Ahmad juga meminta kementerian seperti Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bekerjasama dalam mengenal pasti sektor yang memerlukan tenaga kerja.
“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi boleh memikirkan sektor mana yang memerlukan pekerja, dan kemudian memaklumkan kepada Kementerian Pendidikan yang seterusnya boleh merangka program secara khusus untuk mendidik atau melatih semula mereka.
“Kementerian Sumber Manusia pula kemudiannya akan mencari jalan untuk menyokong (usaha) dan ketiga-tiga (kementerian) harus bekerjasama dan memberi tumpuan untuk menangani kadar pengangguran di negara ini.
“Kerajaan mesti realistik mengenai perkara itu. Ini kerana khuatir jika ia tidak ditangani, golongan muda yang menganggur mungkin akan memberontak.
“Kita bukan hanya bercakap tentang undi semasa pilihan raya tetapi kita bercakap tentang orang yang merusuh kerana mereka lapar dan menganggur.
“Kita perlu mengambil tindakan yang perlu untuk mewujudkan jalan bagi mereka mencari pekerjaan,” tegasnya.
Oleh Azreen Keria