LAWAS: Konvoi Kembara Sarawak Merdeka selamat tiba di Kampung Awat-Awat, Lawas sebagai lokasi persinggahan pada hari pertama perjalanan.
Konvoi diketuai Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu tiba di kampung itu sekitar 12.30 tengah hari semalam setelah berlepas dari Taman Awam Lawas dalam perjalanan yang mengambil masa kira-kira satu jam.
Dalam pada itu, ketibaan rombongan konvoi disambut mesra oleh masyarakat tempatan dengan Gerald serta peserta mengambil peluang untuk menyantuni komuniti setempat.
Ketua Kampung Taman Anugerah, Hamdani ketika ditemui wakil UKAS menzahirkan penghargaan atas pemilihan Kampung Awat-Awat sebagai salah satu destinasi persinggahan yang dianggap dapat mengangkatkan lagi martabat masyarakat nelayan di mata orang luar.
Beliau turut menaruh perasaan berpuas hati atas usaha kerajaan Sarawak untuk melengkapkan kampung tersebut serta kawasan berhampiran dengan prasana yang diperlukan oleh penduduk tempatan.
“Walaupun kampung ini merupakan kampung nelayan, tetapi prasana dan kemudahan asas yang ada adalah agak mencukupi.
“Jadi, kami berharap bilangan program dibawa ke tempat kami akan lebih bertambah untuk mengangkat martabat kami sebagai nelayan.
“Kami juga herharap perhatian pihak kerajaan terhadap golongan nelayan akan ditambah baik lagi,” katanya.
Konvoi Kembara Sarawak Merdeka sedang dalam perjalanan merentasi setiap bahagian di seluruh negeri dalam perjalanan selama 56 hari yang akan berakhir di Kuching pada 22 Julai depan.