BINTULU: Hasrat membakar sampah di bawah rumah akhirnya mengundang detik cemas apabila api berkenaan hampir memusnahkan sebuah rumah di No. 15, belakang Dewan JKKK Balai Raya, Kampung Baru Bintulu, sekitar 3.45 petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Christus Buson berkata, susulan tindakan pantas penduduk kampung ke atas insiden berkenaan, kebakaran sampah berkenaan berjaya dipadamkan sebelum memusnahkan struktur bangunan terbabit.
“Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian di dapati kebakaran melibatkan pembakaran sampah di bawah rumah tetapi berjaya dipadamkan oleh penduduk kampung berhampiran,” katanya.
Menurutnya, dalam kejadian itu tiada sebarang kecederaan mahupun kehilangan jiwa dilaporkan dan pihak bomba memastikan keadaan selamat sebelum meninggalkan tempat terbabit.
Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai supaya bersikap lebih peka terhadap bahayanya akan tindakan yang membawa kepada kebakaran.
Tambahnya, pengetahuan keselamatan kebakaran sangat berguna terutama ketika menghadapi dan juga mencegah situasi kebakaran kerana dapat membantu mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan harta benda.
Sehubungan itu, beliau juga menggesa orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka yang boleh mengundang kebakaran.
“Pada keadaan cuaca sekarang, ia adalah sangat berbahaya untuk penghuni membuat pembakaran terbuka khasnya di kawasan kediaman yang berkedudukan rapat”.
“Jangan bakar sampah tanpa pengawalan lebih-lebih lagi sampah di bawah rumah kerana mengundang kepada kebakaran dan akan menyebabkan kehilangan nyawa dan harta benda,” tegasnya.