KUCHING, 19 November: Kebakaran besar di Jee Hong Trading Company, Muara Tabuan Light Industries, petang ini mengakibatkan sebuah kilang musnah sepenuhnya, manakala sebuah lagi kilang bersebelahan terbakar anggaran 50 peratus.
Kejadian itu turut melibatkan dua lori dan sebuah kenderaan jenis Perodua Axia.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan pada 5.15 petang sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan tiba di lokasi pada 5.19 petang.
Kebakaran melibatkan sebuah kilang dengan anggaran keluasan 50 meter kali 50 meter yang dilaporkan terbakar 100 peratus.
Operasi pemadaman diketuai PBK I Nur Aini Yusuf dengan bantuan anggota dari BBP Batu Lintang dan BBP Padungan.
Seramai 20 anggota bomba digerakkan ke lokasi dengan kekuatan tiga Jentera Bomba dan Penyelamat (FRT), sebuah Jentera Bomba dan Penyelamat Kompak (CFRT), sebuah lori tangki air serta sebuah kenderaan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
Menurut laporan JBPM Sarawak, pasukan bomba menjalankan pemadaman secara defensif berikutan struktur bangunan utama telah runtuh, selain mengambil langkah mengawal kebakaran daripada terus merebak ke premis berhampiran.
Operasi pemadaman menggunakan dua jentera, dua aliran hos sepanjang 200 kaki serta enam muncung pancutan air dengan bekalan air diperoleh daripada pili bomba berhampiran dan pam jentera.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
Oleh Shikin Mahmud



