KUCHING, 19 November: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak terus memperkukuh penyelarasan pengurusan keselamatan dan pasport di seluruh negeri menerusi Mesyuarat Penyelarasan Keselamatan dan Pasport Bilangan 1 Tahun 2026, hari ini.
Mesyuarat yang diadakan secara hibrid di Bilik Mesyuarat Gemilang, Bangunan Sultan Iskandar itu dipengerusikan Pengarah Imigresen Malaysia Negeri Sarawak, Datuk Abdul Halim Abang Naili.
Mesyuarat berkenaan dianjurkan Bahagian Keselamatan dan Pasport Kuching bagi menyelaras pelaksanaan tugas, penyampaian perkhidmatan serta perkara berkaitan pengurusan pasport di seluruh Sarawak.
Bahagian Keselamatan dan Pasport Kuching turut bertindak sebagai penyelaras dan urus setia bagi memastikan setiap perkara yang dibangkitkan diteliti secara menyeluruh sebelum tindakan susulan bersesuaian dirangka.
Antara yang hadir ialah Timbalan Pengarah Imigresen Malaysia Negeri Sarawak (Pengurusan), Roslinda Hanim Mohd Yusoff; Ketua Bahagian Keselamatan dan Pasport Kuching, Kalthom Ahmad; ketua-ketua bahagian serta ketua-ketua Pejabat Bahagian Keselamatan dan Pasport.
Turut hadir pegawai kanan dan pegawai Bahagian Keselamatan dan Pasport Kuching.
Penganjuran mesyuarat itu mencerminkan komitmen berterusan JIM Sarawak dalam memastikan pengurusan keselamatan dan pasport dilaksanakan secara teratur, cekap serta selaras bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.




