PETRA JAYA, 19 November: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) melakar kejayaan membanggakan apabila berjaya meraih Anugerah Emas (Gold Award) bagi Kategori Agensi Kerajaan dalam Pertandingan Landskap sempena Festival Cahaya dan Bunga Kuching 2026.
Menurut kenyataan JHS, anugerah tersebut disampaikan pada majlis penyampaian anugerah yang berlangsung di Bangunan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), hari ini.
JHS diwakili Ketua Bahagian Restorasi dan Hutan Industri, Zarina Shebli serta Ketua Unit Korporat dan Pemodenan Perkhidmatan, Judy George Wan bagi menerima pengiktirafan berkenaan.
Pertandingan yang berlangsung bersempena Festival Cahaya dan Bunga Kuching 2026 dari 26 hingga 31 Ogos lalu di Taman Botani Sarawak itu menjadi platform mengetengahkan kreativiti dan inovasi dalam reka bentuk landskap.
Selain itu, penganjurannya turut menggalakkan usaha pengindahan serta penghijauan persekitaran melalui penghasilan landskap yang kreatif, menarik dan berkonsepkan kelestarian alam sekitar.
Menurut JHS, kejayaan meraih anugerah berprestij itu memperlihatkan komitmen berterusan jabatan berkenaan dalam menyokong usaha pengindahan landskap serta pemeliharaan alam sekitar.
Pengiktirafan tersebut juga selaras dengan aspirasi JHS untuk memperkukuh amalan kelestarian, di samping menggalakkan pembangunan persekitaran yang lebih hijau, harmoni dan seimbang.
Menerusi pencapaian itu, JHS turut menerima sijil penghargaan serta hadiah wang tunai berjumlah RM3,000.
JHS merakamkan penghargaan dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penyertaan berkenaan, sambil berharap kejayaan itu menjadi pemangkin kepada usaha memperkasakan kreativiti, inovasi dan kelestarian alam sekitar pada masa hadapan.
Oleh Adi Safarman



