SIBU: Gara-gara ingkar perintah, pengurus dan syarikat kilang papan kayu diwakili pengarah syarikat didenda sebanyak RM25,000 setiap seorang.
Pada masa sama, perlu mejelaskan bayaran kepada Kerajaan Sarawak sebanyak RM44,450 menurut Seksyen 96 (3) Ordinan Hutan 2015 (Bab 71) sepertimana yang telah diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen Sibu, hari ini.
Menurut fakta kes, kedua-dua pihak berasal dari Sibu telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 96 (1) Ordinan Hutan 2015 (Bab 71) kerana memiliki hasil hutan secara tidak sah dan dibaca bersama Seksyen 79 (2), 96 (3), 98 dan 99 Ordinan yang sama.
Kejadian berlaku pada 6 Mei 2019 di mana Pegawai dari Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) dengan kerjasama bersama pegawai-pegawai dari Jabatan Hutan Sarawak dan Batalion 10, Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan kegiatan pemunggahan 458 batang kayu balak haram sekitar 8.45 pagi.
Serbuan dibuat di Syarikat Kilang Papan Tanjong Engkilo (1980) Sdn Bhd. berlokasi di Jalan Sungai Maaw.
Hakim, Marutin Pagan juga memerintahkan agar dua mesin penyodok dan forklift sebagai bahan bukti dilucuthak dan diserahkan untuk dilupuskan oleh kerajaan.
Dalam pada itu, Pengarah UKPS, Datu Dr. Chai Khin Chung menegaskan bahawa kesalahan ini adalah suatu kesalahan serius yang melibatkan pemilikan dan pembalakan secara tidak sah dan tindakan tegas harus diambil.
Beliau juga berterima kasih atas kerjasama Jabatan Hutan Sarawak, Sarawak Forestry Corporation dan PDRM dalam usaha pembanterasan kegiatan pembalakan haram di Sarawak.
Kedua-dua pengurus kilang dan pengarah syarikat kilang papan tersebut diwakili Peguambela Ben Lau, Danny Huang dan Victor Lau manakala pendakwaan dari UKPS dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ronald Felix Hardin dan Pegawai Pendakwaan Christie Sereni Philimon dari Kamar Peguam Besar Negeri Sarawak.
Prosiding turut dihadiri beberapa pegawai berkenaan.