BAU: Empat lelaki ditahan manakala 2.36 gram dadah disyaki syabu dirampas dalam Op Tapis Khas di beberapa kampung di daerah ini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A Rahman berkata, kesemua suspek berusia antara 18 hingga 30 tahun itu ditahan antara 9.00 pagi hingga 10.30 pagi di sekitar Kampung Peninjau Baru, Kampung Kopit dan Kampung Segubang.
“Tiga daripada suspek didapati memiliki satu paket plastik lutsinar setiap seorang yang mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu. Ketiga-tiga mereka ditahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Saringan awal air kencing pula mendapati kesemua empat suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine. Kesemua mereka kemudian ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) akta yang sama,” katanya.
Mohd Haide berkata, dadah yang dirampas seberat 2.36 gram itu dianggarkan bernilai RM240.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kesemua suspek mengaku mengambil dadah jenis syabu sehari sebelum ditahan.
Kesemua suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Bau, manakala tiga daripada mereka akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman esok.
Oleh Connie Chieng





