Polis Lawas berjaya membuat beberapa tangkapan kes dadah

Facebook
WhatsApp
TANGKAPAN DADAH...suspek yang berjaya ditangkap atas kesalahan dadah di Lawas.

LAWAS: Sepasukan polis menahan dua lelaki tempatan berusia 31 dan 36 tahun yang bekerja sebagai buruh kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Anak Tindan, berkata tangkapan pada 30 Ogos 2026, 11.30 malam, di bandar Lawas itu melibatkan dua individu.

“Pemeriksaan badan terhadap suspek tidak menemui sebarang barang salah atau dadah. Hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine (Meth) dan amphetamine (Amp).

“Semakan kesalahan lampau mendapati seorang suspek mempunyai satu kesalahan lampau, manakala seorang lagi tiada kesalahan lampau. Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 2 September 2026, jam 3 petang, bertempat di hadapan sebuah kedai di bandar Lawas, sepasukan polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun yang bekerja sebagai buruh kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Pemeriksaan badan tidak menemui sebarang barang salah atau dadah. Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine (Meth) dan amphetamine (Amp).

Semakan kesalahan lampau mendapati suspek mempunyai satu kesalahan lampau. Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Seterusnya, pada 4 September 2026, 8.30 malam, bertempat di tepi perhentian bas di Jalan Lawas-Damit, sepasukan polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun yang bekerja sebagai buruh kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Pemeriksaan badan menemui satu bekas plastik yang mengandungi tiga tiub straw berisi hablur kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 0.50 gram.

Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine (Meth) dan amphetamine (Amp).

Semakan kesalahan lampau mendapati suspek mempunyai 10 kesalahan lampau. Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.