Dua lelaki ditahan, kes curi kabel dan ugutan jenayah di Kubah Ria disiasat

Facebook
WhatsApp
DUA lelaki tempatan ditahan polis, manakala sebuah Proton Iswara, Toyota Vios, pemotong kabel dan rangkai kunci kereta turut dirampas bagi membantu siasatan.

KUCHING: Dua lelaki tempatan ditahan polis dipercayai terlibat dalam kes kecurian kabel dan ugutan jenayah di kawasan Kubah Ria, Jalan Matang, Petra Jaya, di sini, susulan kejadian itu tular menerusi video di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, berkata kedua-dua suspek berusia 38 dan 36 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, pada 5 September lalu, kira-kira 10.50 malam.

Beliau berkata kejadian berkenaan dilaporkan berlaku pada 4 September kira-kira jam 3.23 pagi.

“Dalam operasi tersebut, polis merampas sebuah Proton Iswara berwarna biru, Toyota Vios berwarna putih, satu unit pemotong kabel serta satu set anak kunci kereta yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan.

“Semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai 17 rekod jenayah lampau, iaitu sembilan rekod bagi suspek pertama dan lapan rekod bagi suspek kedua,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Alexson berkata hasil saringan air kencing turut mendapati kedua-dua suspek positif dadah.

HEBAHAN media Polis Daerah Kuching

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Usaha mengesan dan menangkap seorang lagi suspek yang masih bebas sedang giat dijalankan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling serta menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah kepada pihak polis.

Orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuching di talian 082-244444 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran untuk menyalurkan maklumat.

Oleh Afiq Sallehi 

Jawapan Yang Dinanti

Dalam kehidupan, tidak semua pertanyaan memperoleh jawapan serta-merta. Ada doa yang lama menunggu, usaha yang belum menampakkan hasil, keputusan yang