KUCHING: Polis memandang serius kes samun menyebabkan kecederaan kepada mangsa dan kertas siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dibuka untuk menjejaki suspek warganegara Indonesia yang kini dilaporkan melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ahsmon Bajah menerusi satu kenyataan hari ini merujuk kepada kejadian yang berlaku kelmarin melibatkan seorang pekerja kedai kopi warganegara Indonesia dan seorang pembekal sayur secara borong, warganegara tempatan yang berusia 61 tahun.
“Kes di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
“Suspek melarikan diri dan usaha menjejakinya kini dipergiatkan begi menyegerakan siasatan,” ujarnya.
Kejadian berlaku sekitar 1.13 petang, malam tadi di sebuah kedai kopi berhadapan pasar Petanak menyebabkan pembekal sayur, warga emas berusia 61 tahun itu kini mengalami cedera parah di bahagian muka, dipercayai mengalami kecederaan serius di kepalanya.
Beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek menunggu mangsa di luar pintu tandas dan apabila mangsa keluar, suspek bertindak memukulnya.
Tambahnya lagi, mangsa dilaporkan cuba melawan namun atas faktor usia dan suspek juga dipercayai dalam pengaruh dadah, maka mangsa tewas dalam pergelutan itu lalu rebah ke lantai tandas kedai kopi itu.
“Suspek menanggalkan bajunya ketika sedang bergelut dengan mangsa. Suspek kemudiannya mengambil sampul surat daripada poket mangsa.
“Semasa mangsa bergerak, suspek mengambil sekarton air mineral dan menghentakkan ke kepalanya (kepala mangsa). Suspek sekali lagi menyelar muka mangsa apabila melihat mangsa masih dalam keadaan separuh sedar mengakibatkan mangsa pada akhirnya tidak sedarkan diri,” jelasnya.
Oleh Connie Chieng