SIBU: Setakat ini, sebanyak tujuh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan menyertai sambutan Hari Bumi Sedunia 2023 yang akan diadakan esok.
Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting berkata, selain MPS, antara PBT yang turut serta, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Majlis Bandaraya Miri (MBM) dan Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS).
“Penganjuran acara ini bertujuan mewujudkan kesedaran yang tinggi tentang kepentingan melindungi dan memelihara alam sekitar,” jelasnya kepada pemberita di pejabat MPS.
Menurutnya, ini merupakan penganjuran kali kelima acara sedemikian diadakan sejak 2017.
“Tahun lepas, acara ini dianjurkan secara atas talian dengan menjemput PBT di Sarawak menyertainya.
“Pada tahun ini, kita melantik MBKS untuk mengetuai penganjuran Hari Bumi Sedunia 2023 yang bertemakan ‘Time Out For Nature’ dan Sibu merupakan salah satu daripada peserta acara tersebut tahun ini,” ujarnya.
Acara bermula tepat 8.30 hingga 9.30 malam.
Sebanyak 15 lokasi di Sibu turut terlibat dalam sambutan ini termasuk lampu di pintu gerbang Sibu dan di sepanjang Jalan Kampung Nyabor, Ling’s Garden.
Antara lokasi-lokasi lain ialah Pasar Sentral Sibu (berdepan Tokong dan Lorong Belakang Khoo Peng Loong), Pasar Sentral Sibu (Lampu Jalan Channel), Pasar Sentral Sibu (berdepan Pansar), Pasar Sentral Sibu (tempat letak kereta dan Tugu Ikan Lumba-lumba Yu).
Perpustakaan Awam MPS, Dataran Tun Haji Bujang dan lampu Jalan Bujang Suntong, Lembaga Pelabuhan Rajang dan lampu Jalan Bujang Suntong, Wisma Sanyan (lampu luar).
Universiti Teknologi Sarawak, Kolej Laila Taib, Tanahmas Hotel/KFC/Sugarburn/Garden/laluan depan Tanahmas Hotel, Stesen Minyak Petronas dan Stesen Minyak Shell (Sri Minyak Tenaga Sdn Bhd).
Turut hadir, Pengerusi Penganjur Kaunselor Toh Yong Kiang.
Oleh AKUN GIMAN