BBP Bintangor perkukuh kesedaran keselamatan kebakaran di rumah panjang

Facebook
WhatsApp
PESERTA belajar cara memadamkan kebakaran dapur. Foto BBP Bintangor

PAKAN, 25 Oktober: Lebih kurang 100 penduduk Rumah Anita Ujon, Nanga Bungkong, Ulu Sugai, mendapat pendedahan mengenai keselamatan kebakaran, khususnya kaedah menangani kebakaran di dapur dan penggunaan alat pemadam api menerusi Program Kesedaran Awam semalam.

Program ini dijayakan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor dengan kerjasama Petros LPG GPC (Sarawak) Sdn. Bhd. dengan memberikan tumpuan kepada peningkatan pengetahuan serta kemahiran asas penduduk dalam menghadapi kecemasan kebakaran di kawasan kediaman.

PESERTA belajar cara menggunakan alat pemadam api dengan betul. Foto BBP Bintangor

Ketua BBP Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, beliau bersama tiga anggota hadir bagi mengendalikan program yang bertujuan mendekatkan pendidikan keselamatan kebakaran kepada masyarakat luar bandar, khususnya penghuni rumah panjang.

Katanya, pengetahuan mengenai langkah pencegahan dan tindakan awal ketika berlaku kebakaran amat penting bagi membantu penduduk memahami risiko serta mengendalikan situasi kecemasan dengan lebih selamat.

“Program kesedaran awam ini memberikan penekanan terhadap keselamatan kebakaran di rumah, khususnya di bahagian dapur yang merupakan antara kawasan penting untuk diberikan perhatian.

“Melalui ceramah dan demonstrasi yang dijalankan, penduduk diberikan pendedahan mengenai tatacara pemadaman kebakaran dapur dan penggunaan alat pemadam api dengan kaedah yang betul,” katanya ketika dihubungi.

PENDUDUK Rumah Anita Ujon mengikuti demonstrasi penggunaan alat pemadam api oleh BBP Bintangor. Foto BBP Bintangor

Katanya, program yang bermula pada 8.00 pagi tersebut melibatkan penyertaan penduduk rumah panjang yang mempunyai 13 pintu.

“Demonstrasi yang diadakan membolehkan penduduk melihat secara lebih dekat kaedah pemadaman kebakaran, sekali gus membantu meningkatkan kefahaman mereka terhadap tindakan yang perlu diambil sekiranya berhadapan dengan kejadian seumpama itu.

“Pendedahan seperti ini penting supaya masyarakat lebih peka terhadap aspek keselamatan dan tidak mengambil mudah risiko kebakaran di kawasan kediaman,” katanya.

Tambahnya, kerjasama dengan Petros LPG GPC (Sarawak) Sdn. Bhd. turut membolehkan program pendidikan keselamatan tersebut dilaksanakan secara langsung bersama komuniti rumah panjang.

Oleh Earl Anek

JCI perkasa bakat, kepimpinan generasi muda

SIBU, 25 Oktober: Penglibatan golongan muda dalam organisasi seperti Junior Chamber International (JCI) penting bagi melahirkan pemimpin masa depan yang