SIBU, 25 Oktober: Taman Rimba Bukit Lima bakal melalui transformasi menerusi peruntukan RM38 juta daripada kerajaan Sarawak, dengan kerja pembangunan dan pembinaan dijangka bermula awal tahun depan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, peruntukan yang diluluskan pada Oktober itu akan digunakan untuk menaik taraf keseluruhan kawasan rekreasi berkenaan, termasuk bahagian yang masih dalam keadaan kurang memuaskan.
Menurutnya, pelan pembangunan itu merangkumi pemanjangan laluan sedia ada dari zon utara ke selatan serta pembinaan laluan sekunder, menjadikan keseluruhan rangkaian laluan melebihi lapan kilometer.
“Kita akan cuba memulakan kerja pembangunan dan pembinaan pada awal tahun depan,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan pelepasan peserta Kemuyang Nature Challenge di Kem Belia di sini, hari ini.
Annuar, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, meminta pengunjung bersabar sementara menunggu kerja naik taraf dilaksanakan, memandangkan keadaan kemudahan di kawasan itu masih tidak menyeluruh dari segi penambahbaikan.

“Sesetengah bahagian sudah ditambah baik, tetapi ada juga yang masih dalam keadaan kurang baik.
“Saya berharap pengunjung Taman Rimba Bukit Lima dapat bersabar kerana kita baru menerima peruntukan RM38 juta daripada kerajaan Sarawak untuk menaik taraf keseluruhan kawasan ini,” katanya.
Beliau turut melihat potensi Taman Rimba Bukit Lima untuk menjadi lokasi penganjuran acara larian bertaraf antarabangsa dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.
Potensi itu selari dengan penganjuran Kemuyang Nature Challenge yang dianjurkan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, dengan menawarkan kategori larian lima dan lapan kilometer serta hadiah keseluruhan RM19,200.
Annuar mencadangkan supaya acara itu dijadikan program tahunan, dengan sasaran meningkatkan penyertaan daripada 350 peserta tahun ini kepada 3,000 peserta pada tahun depan.
Menurutnya, gabungan aktiviti kecergasan dengan persekitaran semula jadi bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah membuka ruang untuk memperluas aktiviti rekreasi luar di kawasan berkenaan.
Oleh Tarani Lanting




