KUCHING: Seramai 710 penerima dikurniakan Pingat Perkhidmatan Setia daripada 35 jabatan dan agensi.
Menurut Jabatan Penerangan Sarawak dalam satu siaran Facebook, 29 daripada 35 agensi dan jabatan yang terlibat adalah daripada Kerajaan Negeri manakala enam dari Kerajaan Persekutuan.
Katanya, Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Setia adalah bertujuan memberi penghargaan kepada anggota Perkhidmatan Awam Sarawak dan Perkhidmatan Awam Persekutuan di atas sumbangan mereka yang tidak ternilai kepada pembangunan negeri ini dengan perkhidmatan yang berkualiti serta berintegriti sepanjang tempoh perkhidmatan.
“Pengurniaan Pingat Perkhidmatan Setia tersebut telah disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata di Ra’ia Hotel and Convention Centre, di sini, hari ini (semalam),” katanya.
Sejarahnya, dalam pentadbiran moden di Sarawak yang diperkenalkan pada era pemerintahan Brooke, sebagai penghargaan dan pengiktirafan ke atas ketaatsetiaan pegawai-pegawainya, pemerintahan Brooke telah menganugerahkan pingat ‘Long Service Decoration’ ia diberikan kepada pegawai-pegawai yang telah lama berkhidmat serta menunjukkan mutu perkhidmatan yang cemerlang.
Seterusnya, mulai tahun 1950-an dalam era koloni British, gelaran kurniaan itu telah ditukar kepada ‘Long Service Badge’ tetapi tujuan penganugerahannya tidak berubah.
Bersesuaian dengan perubahan zaman, gelaran ‘Long Service Medal’ ataupun Pingat Perkhidmatan Lama telah mula digunakan semenjak 1963.
Berikutan perubahan semasa, pingat berkenaan telah ditukar lagi namanya kepada Pingat Perkhidmatan Setia selaras dengan arahan yang terdapat di dalam Surat Pekeliling (Bil. Peri. 19/96) bertarikh 24 Mei 1996.
Walaupun istilah yang diguna pakai adalah berbeza dari tahun ke tahun, namun intipati yang ingin disampaikan adalah pengiktirafan serta penghargaan Kerajaan Sarawak kepada para penjawat awam yang berjaya mempamerkan kesetiaan dalam melaksanakan perkhidmatan yang cemerlang.
Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Setia diberikan kepada penjawat awam yang bertaraf tetap dalam Perkhidmatan Awam di Negeri Sarawak, yang telah berkhidmat selama Dua Puluh (20) tahun terus-menerus atau Dua Puluh Lima (25) tahun perkhidmatan terkumpul, yang telah menunjukkan mutu perkhidmatan yang cemerlang serta memuaskan dan disokong oleh ketua jabatan.
Selain itu, mereka juga perlu bebas dari siasatan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tiada rekod pelanggaran tatatertib.
Mulai 2 Disember 2008, sempena Majlis Penyampaian Pingat Perkhidmatan Setia oleh Tuan Yang Terutama Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Miri, Sarawak, kerajaan telah membuat pembaharuan bagi pingat untuk penerima wanita dengan penggunaan riben berbeza daripada penerima lelaki.
Untuk penganugerahan kali ini telah didahului oleh Peguam Besar Negeri Sarawak, Dato Sri Talat Mahmood Abdul Rashid yang telah berkhidmat selama 34 tahun
Penerima dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia Negeri Sarawak pula Bedindang Aseng yang telah berbakti selama 40 tahun dan penerima bakti setia paling lama dalam perkhidmatan ialah Linda Lio Vun Fah @ Winfah dari Majlis Bandaraya Kuching Selatan iaitu telah berkhidmat selama 43 tahun.
Tidak ketinggalan seramai 13 penerima dari Jabatan Penerangan Malaysia, Sarawak turut diberikan penganugerahan iaitu Sutina Bujang, Nurie Botik, Hamzah Bohari, Jua Daud, Mosin Ujap, Mohiden Bojeng, Roselee Hashim, Shamshul Keram, Talip Inggol, Abang Zamhary Abang Zaini, Zaidi Ili, Juni Amin dan Hasbi Ismail. – JAPEN