SRI AMAN: Jalan dua hala Lebuhraya Pan Borneo (LPB) bermula dari Kilometer 38 hingga Kilometer 48, Jalan Serian-Sri Aman kini sudah mula dibuka untuk pengguna jalan raya berkuat kuasa hari ini.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak melalui notis pemberitahuan memberitahu pengguna jalan raya diminta berhati-hati ketika memandu di kawasan itu bermula dari Kampung Gua menuju ke Klauh sepanjang tempoh pembukaannya.
Pengguna jalan raya menurut notis itu juga diminta mematuhi segala pengurusan trafik untuk tujuan keselamatan dan memberi perhatian khusus apabila jalan telah berubah kepada dua hala termasuk kerja-kerja pembinaan.
“Pihak kontraktor akan memaklumkan sekiranya terdapat sebarang perubahan pada tarikh atau kawasan yang terlibat dalam pembukaan (jalan dua hala) berkenaan.
“Bagaimanapun pengguna jalan raya dinasihat agar bertindak merancang perjalanan masing-masing jika ia melibatkan kawasan pembukaan jalan dua hala tersebut dan yang terlibat,” katanya.
Notis itu turut memberitahu pengguna jalan raya boleh bertindak menghubungi Pejabat Zon Selatan, Unit LPB JKR di talian 082-619125 jika ingin memberi aduan atau mendapatkan maklumat lanjut mengenai berkaitan aliran trafik.
Oleh VALENTINE NGUMBANG