KUCHING: Kerajaan Malaysia Madani telah memperuntukkan dana sebanyak RM4.93 juta setahun bagi 12 Syarikat Pengusaha Bas Berhenti-Henti yang layak di Sarawak.
Antaranya ialah City Public Link Bus Services Sdn Bhd, Biaramas Express Sdn Bhd, Petra Jaya Transport (S) Sdn Bhd, Bau Transport Company Sdn Bhd., Borneo Amalgamated Transport Co. Bhd., Lanang Road Bus Company Berhad, Rejang Transport Sdn Bhd., Teku Road Bus Co. Sdn Bhd., Sungei Merah Bus Berhad, Miri City Bus Sdn Bhd., Miri Belait Transport Company Sdn Bhd. dan Miri Transport Co. Sdn Bhd.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pengusaha bas perlu meningkatkan mutu perkhidmatan mereka agar boleh mengurangkan kesesakan lalu lintas.
“Perkhidmatan mereka perlu ditingkatkan dari segi menepati masa, keselesaan kepada penumpang dan kebersihan juga perlu dijaga sepenuhnya.
“Kita berharap syarikat-syarikat bas berusaha untuk membaiki dan menukar bas mereka pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian Dana Bantuan Sementara Pengusaha Bas Berhenti Henti (DBSPB) Sarawak bagi Tahun 2023 hingga 2025 diadakan di Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sarawak, Bangunan Sultan Iskandar di sini, hari ini.
Tambah Lee, Kerajaan Sarawak selama ini banyak membantu rakyat yang menggunakan perkhidmatan bas dengan menawarkan harga tambang RM1 kepada mereka.
“Walaupun projek Transit Aliran Automasi (ART) akan dilaksanakan di bandar raya ini, perkhidmatan bas sangat diperlukan pada masa akan datang,” ujarnya.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Sarawak Norizan Jili, Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan Sarawak Dato Ir. Alice Jawan Empaling dan Pengarah Lembaga Pelesenan Kenderaaan Perdagangan Sarawak Masitah Annuar.
Oleh Mohd Neenatul Aizal