KUCHING: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) telah membuka tiga pusat temu duga di Sarawak yang terletak di sini, Sibu dan Miri sebagai sebahagian daripada 17 pusat temu duga di seluruh negara.
Pembukaan tiga pusat ini sekali gus memudahkan pemohon menghadiri temu duga, mendapatkan maklumat serta mengurangkan kos pengangkutan atau logistik terutama bagi calon temu duga dari kawasan pedalaman.
Menurut Pengerusi SPA, Tan Sri Dato’ Seri Utama Zainal Rahim Seman, SPA mahukan hanya calon terbaik, tidak kira dari mana-mana negeri.
Katanya, wakil dari Sabah dan Sarawak sendiri turut dipilih untuk mengelola sesi temu duga di negeri masing-masing yang mana mereka lebih mengetahui akan latar belakang serta persekitaran negeri itu.
“Soal pemilihan dalam penjawat awam kita terbuka, tiada had jadi kita memilih yang terbaik tidak kisah dari Sarawak, Sabah mereka yang terbaik pada bila bila masa boleh memohon.
“Dengan ini, saya pasti lebih ramai yang akan berminat untuk memohon SPA sekali gus menyertai penjawat awam,” katanya.
Tiada had pengambilan penjawat awam yang ditetapkan kepada mana-mana negeri termasuk Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas perasmian Pusat Temu Duga Kuching dan Miri, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia di Pusat Transformasi Bandar(UTC) di sini, hari ini.
Dalam pada itu beliau menambah, bagi pemohon yang berada di kawasan pedalaman, sistem dalam talian disediakan melalui laman ‘SPA9’ bagi pemohon membuat permohonan, menjalani peperiksaan dan menghadiri temu duga tanpa perlu hadir ke pusat temu duga sekiranya pusat jauh dari kediaman.
“Bagi penduduk luar bandar kita sudah sediakan sistem permohonan atas talian, pemohon juva boleh menduduki perperiksaan dan temuduga tanpa perlu hadir ke pusat temuduga,”katanya.
Untuk rekod, setakat ini, SPA mempunyai sebanyak 17 pusat temu duga di seluruh negara.
Oleh SHAHRUL QAIZAT