KUCHING: Mahkamah Majistret hari ini menetapkan penjara lapan bulan dari tarikh tangkapan 28 November 2022 terhadap seorang lelaki akibat mencederakan bapa kandungnya sendiri.
Tertuduh Ramzy Selamat, 38, didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Zaiton Anuar.
Seksyen berkenaan membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Mengikut fakta kes, lebih kurang jam 11.00 malam pada 28 November 2022 semasa ayah tertuduh, Selamat Latip, 61, (pengadu) berada di rumahnya di alamat Rumah No 947, Lorong 2A6, Bandar Baru Semariang Fasa 1, Jalan Sultan Tengah, Petra Jaya, Kuching melihat tertuduh iaitu anak kandungnya sedang mengamuk di rumah.
Pengadu telah menegur tertuduh agar tidak berbuat bising namun tertuduh telah bertindak membaling telefon bimbit yang dirampas di tangannya ke arah pengadu dan telefon bimbit tersebut telah mengenai kepala pengadu.
Akibat kejadian tersebut, pengadu mendapat kecederaan di kening kanan dan pengadu tampil membuat aduan di Balai Polis Gita.
Telefon bimbit jenama Samsung bewara hitam turut dirampas dan merupakan alat yang digunakan oleh tertuduh untuk mencederakan pengadu.
Laporan perubatan oleh Pegawai Perubatan Hospital Umum Sarawak (HUS) mengesahkan pengadu mengalami kecederaan ringan di kening.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Inspektor Merylene manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Oleh NICKELYSON LAKUN