Wanita rugi RM192,000 diperdaya sindiket menyamar pegawai MCMC, polis

Facebook
WhatsApp
GAMBAR hiasan. Janaan AI

KUCHING, 23 Oktober: Seorang wanita tempatan berusia 61 tahun kerugian RM192,000 selepas diperdaya sindiket penipuan telefon yang menyamar sebagai wakil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta pegawai polis.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek ketika berada di rumah pada 16 Oktober lalu.

Menurutnya, suspek mendakwa mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan perlu memindahkan sejumlah wang bagi menyelesaikan kes berkenaan.

“Suspek turut menjanjikan bahawa wang yang dipindahkan itu akan dikembalikan kepada mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Alexson berkata, mangsa yang mempercayai dakwaan tersebut kemudian melakukan satu transaksi pemindahan wang ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN).

Bagaimanapun, mangsa mula mengesyaki dirinya ditipu apabila wang yang dijanjikan tidak dikembalikan sebelum tampil membuat laporan polis.

Jumlah keseluruhan kerugian yang dialami mangsa ialah RM192,000.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, Alexson menasihatkan orang ramai supaya tidak panik sekiranya menerima panggilan telefon mencurigakan, sebaliknya segera menamatkan panggilan berkenaan.

Katanya, orang ramai juga tidak seharusnya mendedahkan sebarang maklumat peribadi atau perbankan kepada individu tidak dikenali yang menghubungi mereka melalui telefon.

“Orang ramai dinasihatkan supaya menghubungi balai polis berhampiran untuk membuat pengesahan atau laporan sekiranya menerima panggilan yang mencurigakan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya menyemak nombor akaun bank dan nombor telefon yang meragukan menerusi portal Semak Mule Polis Diraja Malaysia (PDRM) di https://semakmule.rmp.gov.my.

Sebarang maklumat berkaitan aktiviti penipuan atau transaksi mencurigakan boleh disalurkan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997.

Orang ramai juga boleh menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak melalui panggilan telefon atau WhatsApp di 011-62890089, selain menghantar e-mel kepada kjsjkswk@rmp.gov.my.

Oleh Connie Chieng