TANJUNG MANIS: Orang ramai diminta menyalurkan masalah melalui saluran yang betul supaya penyelesaian lebih tuntas dapat diambil tindakan sepenuhnya oleh pihak berwajib.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata setiap minggu beliau berada di Kuala Rajang dan hanya baru menerima laporan masalah bekalan air dalam bulan lepas.
Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata, oleh sebab itu beliau memohon Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi untuk datang melihat sendiri perkembangan projek bekalan air di sini.
“Ini supaya kita dapat mendengar secara khusus dan secara tepat berkenaan perancangan jangka pendek dan jangka panjang mengenai penyelesaian bekalan air di kawasan ini.
“Alhamdullilah, kita telah diberi taklimat oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dan juga Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak mengenai perancangan jangka panjang.
“Jadi setelah kita mendengar taklimat, memang kita boleh kongsikan bersama penduduk di kawasan ini,” katanya ketika ditemui ketika lawatan kerja Julaihi di sini semalam.
Len Talif berkata, usaha itu menggambarkan keikhlasan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menerusi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi untuk menyelesaikan masalah bekalan air yang berlaku di kawasan ini.
“Kita memang mengambil tindakan untuk menyelesaikan masalah ini kerana saya sendiri berasal dari kampung ini dan mengambil berat berkenaan masalah ini.
“Apa yang kita hendak minta ialah supaya mana-mana masalah bolehlah disalur menggunakan saluran yang tepat supaya penyelesaian dapat diambil tindakan sepenuhnya oleh pihak yang berwajib,” katanya.
Oleh Earl Anek dan Akun Giman