WOLVERHAMPTON: Jurgen Klopp melabelkan cara Liverpool kendaliannya dibolosi dalam kekalahan 3-0 di tangan Wolves sebagai “teruk” dan sukar baginya untuk menjelaskan persembahan hambar anak buahnya.
The Reds hanya mengutip satu mata daripada empat perlawanan Liga Perdana Inggeris mereka dan peluang untuk memburu tempat dalam kelompok empat teratas semakin tipis.
Anak buah Klopp ketinggalan 2-0 dalam tempoh 12 minit pertama aksi di Molineux menerusi gol sendiri Joel Matip dan rembatan Craig Dawson yang membuka jaringan pada penampilan sulungnya untuk Wolves.
Ruben Neves menambah jaringan ketika permainan berbaki 19 minit untuk membawa Wolves keluar dari zon penyingkiran.
“Dibolosi awal bukan sesuatu perkara yang biasa buat kami tetapi cara kami dibolosi hari ini tidak boleh diterima.
“Apabila melihat permainan secara keseluruhan, kami bermain dengan baik tanpa menjaringkan gol dan ia adalah perlawanan di tempat lawan yang bagus tetapi tanpa gol.
“Jaringan ketiga saya tidak kira kerana ia adalah kali pertama mereka melepasi garisan tengah di babak kedua. Dua gol lagi, dengan segala apa yang diperkatakan minggu ini dan sebelum perlawanan, kemudian bermula dengan cara begitu, ia sangat teruk,” kata Klopp.
Liverpool kini menghuni tangga ke-10 liga dan sudah tersingkir daripada kedua-dua kejuaraan domestik.
Liga Juara-Juara Eropah adalah satu-satunya peluang untuk menyelamatkan maruah mereka pada kempen kali ini dengan pertemuan 16 terakhir menentang Real Madrid menanti pada akhir bulan ini. – AFP