LIVERPOOL: Mikel Arteta berkata Arsenal kini perlu menunjukkan ciri-ciri sebagai juara selepas dikejutkan dengan kekalahan 1-0 oleh Everton.
Arsenal yang memburu gelaran Liga Perdana Inggeris pertama dalam tempoh 19 tahun, masih mendahului Manchester City dengan kelebihan lima mata di puncak liga, namun terlepas peluang untuk melebarkan jurang selepas kekalahan kedua liga musim ini.
James Tarkowski menanduk masuk gol kemenangan The Toffees pada minit ke-60 untuk Everton memulakan era baharu yang sempurna di bawah kendalian pengendali baru dilantik, Sean Dyche.
“Ini bukan perjalanan yang mudah. Ia akan menjadi lebih rumit dan kami perlu bermain lebih baik daripada apa yang kami lakukan hari ini,” kata Arteta.
Sebelum perlawanan itu, Everton tewas empat aksi liga berturut-turut di Goodison Park – rekod terburuk mereka sejak tahun 1958.
Keputusan itu membuatkan Frank Lampard dipecat dan Dyche memulakan tugasnya dengan merakam kemenangan pertama buat Everton selepas 11 perlawanan.
“Keperluan minimum adalah usaha yang maksimum dan kita dapat lihat perkara itu hari ini,” kata Dyche.
The Toffees satu-satunya pasukan Liga Perdana Inggeris yang tidak menandatangani pemain sepanjang jendela perpindahan Januari walaupun berada di zon penyingkiran.
Bagaimanapun mereka membuktikan yang skuad itu tidak kurang hebatnya untuk bersaing di liga tertinggi berkenaan sekiranya tampil dengan corak permainan lebih mantap serta konsisten.
Kemenangan pertama Everton sejak Oktober itu adalah hasil gerakan dua bekas pemain Dyche di Burnley – apabila Tarkowski menanduk masuk sepakan sudut Dwight McNeil pada minit ke-60.
Tarkowski adalah antara tonggak kejayaan Dyche dalam mengekalkan Burnley di Liga Perdana Inggeris selama enam musim berturut-turut dari tahun 2016 sehingga 2022. – AFP