SIBU: Cadangan pembinaan tangki air bertingkat di Ulu Sungai Merah sudah diluluskan dan ia dijangka menangani masalah tekanan air rendah di situ.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II, Michael Tiang Ming Tee berkata, pihaknya menerima banyak aduan mengenai tekanan air rendah daripada penduduk yang tinggal di kawasan Ulu Sungai Merah.
“Masalah ini mungkin disebabkan oleh banyak rumah di kawasan tersebut. Dengan ada tangki air bertingkat ini, saya percaya ia akan memudahkan kehidupan penduduk di kawasan terbabit,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan berkata demikian ketika berucap pada majlis kecemerlangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Sibu, di sini hari ini.
Beliau juga menyatakan bahawa projek menghubungkan Jalan Ulu Sungai Merah dan Jalan Oya sepanjang 7.8 kilometer telah diluluskan dan akan bermula tahun depan.
Katanya, projek pada tahun ini akan memberikan tumpuan kepada kerja-kerja melebarkan jalan.
Dalam perkembangan lain, Tiang berkata, sekolah menengah adalah tempat memperkenalkan pelajar kepada mata pelajaran yang lebih maju dan khusus.
“Sekolah menengah merupakan tempat untuk pelajar mengembangkan kemahiran sosial dan kemahiran komunikasi. Kemahiran itu diperlukan apabila mereka memasuki pengajian tinggi dan alam pekerjaan,” katanya.
Atas sebab itu, katanya, amat penting bagi pelajar untuk meneroka minat dan bakat mereka.
“Sarawak memerlukan lebih ramai anak muda yang mempunyai pelbagai bakat dan kemahiran untuk maju dan mencapai impian menjadi negeri maju menjelang 2030.
“Saya percaya banyak peluang untuk golongan muda yang bukan sahaja dalam pendidikan, malah dalam pelbagai bidang yang mereka ingin ceburi,” katanya.
Oleh AKUN GIMAN