KUCHING: Kerajaan Perpaduan perlu mengurangkan permainan politik dan mula bekerja lebih kuat bagi meningkatkan ekonomi negara sekali gus membantu rakyat di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, bagi mencapai matlamat itu, semangat kebersamaan dan bersatu-padu perlu diterapkan.
“Apabila kita bersatu barulah kita dapat fokus kepada perancangan untuk membangunkan negara sama ada dari sudut ekonomi serta membantu rakyat.
“Apa yang paling penting adalah kita perlu kurangkan berpolitik, lebih kuat bekerja. Kurangkan bercakap dan jalankan kerja dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2023 anjuran Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), di Ibu Pejabat parti itu, di Jalan Tan Sri Ong Kee Hui dekat sini, hari ini.
Fadillah berkata, atas semangat Kerajaan Perpaduan, kebersamaan itu adalah satu budaya di Sarawak dan amalan kunjung-mengunjungi menjadi satu kekuatan bagi membina negeri ini menjadi lebih kuat.
“Negara kita nanti boleh menjadi lebih bersatu-padu menuju kepada destinasi baharu iaitu kecemerlangan negara dan kemakmuran untuk semua rakyat kita.
“Jadi saya berharap budaya kunjung-mengunjungi antara satu sama lain ini akan terus dikekalkan supaya kita boleh merapatkan hubungan antara keseluruhan rakyat di negara ini,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT dan MOHD NEENATUL AIZAL