Bomba periksa premis perniagaan di Lawas

Facebook
WhatsApp

LAWAS: Pihak Bomba dan Penyelamat Bahagian Limbang akan melakukan lawatan pemeriksaan keselamatan di premis perniagaan dari semasa ke semasa dan balai bomba daerah Lawas.

Ketua Bomba Zon Tujuh Limbang Ramlan Marajan berkata ia penting untuk mencegah kebakaran terutama menjelang perayaan Tahun Baharu Cina di premis-premis  sekitar Lawas.

“Ia bertujuan untuk mengingatkan dan memastikan aspek keselamatan kebakaran sentiasa diamalkan dan menjadi tanggungjawab bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika lawatan kerja rasmi ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas semalam.

Hadir sama Ketua BBP Lawas Azman Ibrahim bersama pegawai dan anggota lain serta Pegawai Penyiasatan Kebakaran Zon Tujuh  Clarence D.Primus Tiandun.

Pada lawatan itu Ramlan meluangkan masa melakukan pemeriksaan kit, pemeriksaan status keadaan pakaian seragam  dan pakaian perlindungan diri (PPE) setiap anggota yang bertugas dalam keadaan baik dan membuat tindakan susulan bagi yang sudah rosak.

Selain itu beliau turut melakukan pemeriksaan keadaan jentera, peralatan kebombaan dan penyelamatan untuk memastikan semua berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan pada bila-bila masa anggota bertugas.

Ramlan turut mengadakan sesi dialog bersama anggota berkaitan pelbagai isu yang belum selesai dan perlu diketengahkan ke ibu pejabat di Kuching dan pemeriksaan fail pengurusan di pejabat.

Oleh ADENG EDRUS

Keterangan gambar

PERIKSA PREMIS…Ramlan bersama Azman kelihatan memeriksa petak utama elektrik di sebuah hotel di Lawas.

PASUKAN MANTAP….Ramlan bersama pegawai dan anggota Bomba Balai Bomba dan Penyelamat Lawas selepas sesi pertemuan dan pemeriksaan Balai Bomba Lawas.