KUCHING: Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Negeri Sarawak (SEDCC) bukan sahaja menyelaras program keusahawanan, malah ia turut berperanan supaya setiap inisiatif yang dilaksanakan sampai kepada golongan sasar.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, SEDCC juga membantu memberi impak yang berkesan kepada pembangunan usahawan di Sarawak.
Katanya, sebanyak 53 agensi persekutuan dan negeri yang terlibat dengan pembangunan usahawan bersama SEDCC.
“Melalui jawatankuasa ini, segala program, aktiviti dan bantuan keusahawanan yang ditawarkan oleh pelbagai agensi diselaras dan dioptimumkan agar tiada pertindihan projek atau program.
“SEDCC juga berperanan bagi memastikan agar setiap insiatif yang dilaksanakan sampai kepada golongan sasar dan seterusnya memberi impak berkesan kepada pembangunan usahawan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Anugerah Usahawan Bumiputera Sarawak 2022 di sini malam tadi yang turut dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Dr Malcom Mussen Lamoh.
Awang Tengah juga berkata, pada 2022, Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) telah berjaya menganjurkan pelbagai program untuk membantu meningkatkan kapasiti dan kebolehan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi memastikan mereka memiliki pengetahuan serta kemahiran diperlukan untuk bersaing di pasaran.
Antara yang dilaksanakan adalah Program Keusahawanan Asas, Digital dan Teknikal, Program Jum REGISTA dan Program Produk di peringkat domestik dan antarabangsa, Showcase Usahawan di pelbagai daerah dan promosi di media massa.
Oleh NUR AIN OTSMAN