MIRI: Mahkamah di Sabah dan Sarawak akan meneruskan usaha untuk mempertingkatkan penggunaan teknologi digital sejajar dengan matlamat badan kehakiman iaitu menyampaikan sistem keadilan moden bertaraf dunia.
Hakim Besar Sabah dan Sarawak merangkap Pemangku Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Datuk Amar Abang Iskandar Abang Hashim (gambar) berkata matlamat badan kehakiman adalah untuk menyampaikan sistem keadilan moden bertaraf dunia yang bebas, berkesan, responsif, cekap, perintis dan menegakkan kedaulatan undang-undang.
“Pendigitalan Mahkamah Sabah dan Sarawak bermula lebih sedekad lalu. Hari ini, kami terus memperkenalkan teknologi ke dalam sistem keadilan kami supaya lebih bersedia untuk masa hadapan,” katanya seperti dilaporkan UKAS.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak (OLY) di Kompleks Mahkamah Miri, hari ini.
Abang Iskandar berkata sebagai contoh Sistem Kecerdasan Buatan dalam Penghukuman Mahkamah (AiCOS) terus diberi data hukuman bagi kesalahan di bawah Subseksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan juga akan dilaksanakan bagi kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dalam tempoh setahun.
Katanya, pembangunan semula Sistem Mahkamah Bersepadu (ICS) juga sedang giat dijalankan melalui projek e-Kehakiman Sabah Sarawak (eKSS) yang mana sepanjang 2022, majoriti mahkamah di Sabah dan Sarawak telah melalui pengubahsuaian digital dengan pemasangan perkakasan dan perisian baharu untuk sistem Transkripsi Rakaman Mahkamah (CRT).
Beliau berkata, sistem eCourt Finance (ECF) juga telah disepadukan dalam usaha untuk mendigitalkan urus niaga monetari di mahkamah bagi menyampaikan perkhidmatan yang cekap kepada orang awam dan pihak berkepentingan.
Selain itu katanya, meningkatkan akses kepada keadilan, perkhidmatan program Mahkamah Bergerak juga dijalankan dengan sokongan daripada ahli-ahli Badan Peguam, jabatan kerajaan yang berkaitan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).
Untuk rekod, majlis pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak menjadi satu acara tradisi tahunan ikonik dalam Kalender Tahunan Badan Kehakiman Sabah dan Sarawak yang menandakan pembukaan Tahun Baharu Kehakiman.
Acara ini dianjurkan secara bergilir-gilir di beberapa mahkamah lain seperti di Mahkamah Sandakan dan Tawau di Sabah serta Mahkamah Kuching, Mahkamah Miri, Mahkamah Sibu, dan Mahkamah Bintulu di Sarawak.
Bagi Pembukaan Tahun Perundangan 2023, Mahkamah Miri sekali lagi dipilih sebagai pengelola majlis untuk mengumpulkan seluruh warga kehakiman iaitu Hakim-Hakim dan Pegawai Kehakiman, warga Perundangan iaitu Pegawai Undang-undang Persekutuan dan Negeri serta peguam-peguam di negeri Sabah dan Sarawak bagi mengimbas kembali perancangan dan pelaksanaan pentadbiran keadilan sepanjang 2022 dan menyusun semula dasar, visi dan misi untuk dilaksanakan sepanjang 2023 ini.
Hadir dalam majlis itu ialah Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) Tun Md. Raus Sharif, Pemangku Hakim Besar Malaya merangkap Hakim Mahkamah Persekutuan Dato’ Mohamad Zabidin Mohd Diah, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh, Peguam Besar Negeri Sabah Datuk Nor Asiah Mohd. Yusof, Timbalan Peguam Besar Negeri Sarawak Datu John Wayne Chamberlin Sirau, dan Datuk Bandar Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Adam Yii Siew Sang