KUCHING: Mural Seni yang dipersembahkan di Telang Usan adalah hasil karya insan istimewa dari Badan Bukan Kerajaan (NGO), Autsome Kuching, Heart Treasures dan Persatuan Kebajikan Kanak-kanak Terencat Akal Sarawak (PERKATA).
Pengerusi Autsome, Emma Za berkata hasil seni mural itu dilukis dan diwarnai oleh 18 ahli-ahli komuniti berkenaan.
Katanya, mereka itu terdiri daripada orang terencat dari pelbagai lapisan umur, bangsa dan agama.
“Projek mural ini mengambil masa selama dua minggu untuk disiapkan,”katanya.
Emma berkata, ramai menjangkakan bekerja bersama individu berkeperluan istimewa ini mempunyai pelbagai cabaran dan halangan, namun mereka tidak mempunyai sebarang halangan dan segalanya berjalan lancar.
“Setiap ahli yang mengambil bahagian dalam projek ini memberikan kerjasama yang sangat baik, malah ada sebahagian mereka sudah mempunyai bakat dalam seni lukisan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Bazar Seni Mural Neurodivergent di hotel Telang Usan Hotel di sini hari ini yang dilancarkan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng.
Wee dalam ucapannya pula menyatakan bahawa sehingga 31 Mei 2021, terdapat seramai 579,150 orang kurang upaya di negara ini, iaitu mewakiki kira-kira 1.8 peratus penduduk Malaysia.
“Orang ini juga ahli komuniti kita dan berhak mendapat lebih banyak lagi kesedaran, sokongan dan pengiktirafan,” katanya.
“Ini menekankan keperluan penting bagi Malaysia untuk melihat dan menilai semula Akta Orang Kurang Upaya 2008 supaya kita terus memperkasakan orang kurang upaya,”katanya.
Sementara itu, bazar tersebut menampilkan vendor seni dan kraf yang mempamerkan karya artis tempatan, makanan dan minuman serta persembahan sape secara langsung oleh pemain sape legenda Mathew Ngau.
Oleh SHAHRUL QAIZAT
Foto oleh Herriey Naha
Keterangan gambar
TERTARIK…. Wee melihat hasil pameran di Bazar Seni Mural