KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) buat pertama kalinya akan mengadakan perarakan Warisan Budaya Tarian Naga dan Tarian Singa 2022 Sabtu ini.
Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan menaja sepenuhnya perarakan yang dianjurkan oleh Persatuan Clan Ho (Loh Kong) Kuching Sarawak dan bersama Gu Jin Long Shi Shanzhuang.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng berkata perarakan itu terdiri daripada lebih 100 singa, 13 rombongan naga, 24 muzik dram dan persembahan kebudayaan lain.
“Perarakan akan bermula dari Bangunan MBKS pada 6.00 petang dan berarak mengelilingi bandar raya Kuching melalui jalan utama seperti Jalan Padungan dan berakhir di Tebingan Sungai Sarawak.
“Perarakan tarian naga dan singa merupakan perayaan masyarakat berbilang budaya di Sarawak dengan pelbagai kaum dan latar belakang,” katanya pada sidang media di Bangunan MBKS, di sini hari ini.
Pada majlis sama, beliau turut menyatakan bahawa Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting dijangka hadir merasmikan perarakan itu.
Oleh Mohd Neenatul Aizal
Keterangan gambar
CERIA… Dato Wee Hong Seng (tujuh dari kiri) bergambar bersama jemputan lain semasa sidang media memgenai perarakan Warisan Budaya Tarian Naga dan Tarian Singa 2022 di Bangunan MBKS, di Kuching hari ini.