LIMBANG: Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) melalui Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) akan diteruskan di kawasan Batu Danau tahun depan.
Ini akan melibatkan empat kawasan perkampungan di situ.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Paulus Palu Gumbang berkata masih banyak lagi keperluan penduduk di luar bandar yang perlu diutamakan termasuk kemudahan bekalan elektrik dan BALB, jaringan jalan raya, kemudahan sekolah, telekomunikasi dan kemudahan lain.
“Empat projek BALB membabitkan penyambungan bekalan air dari simpang Pengkalan Madang ke Ukong, Simpang Ukong ke Tanah Merah, dari Medamit ke Pulau Brunei dan dari Simpang Semena Ke Kuala Mendalam.
“Banyak projek telah dirancang bukan saja dibawah Kerajaam Persekutuan malah juga kerajaan negeri terutamanya dibawah NRDA,”katanya pada majlis penyerahan sumbangan sosial korporat (CSR) Lee Ling Timber sempena Hari Natal di Dewan Bunga Raya di sini semalam.
Turut sama ialah Pengurus Syarikat Lee Ling Timber Sdn Bhd Kenneth Chieng Siong Woo.
Menurut Paulus, turut dilaksanakan tahun depan adalah pembinaan jalan raya luar bandar.
Projek ini katanya, dijangka akan mengambil sedikit masa dan peruntukannya juga besar.
“Projek yang kita harap akan dapat dilaksanakan tahun depan ialah jalan dari Medamit ke Rumah Aling Pulau Brunei kerana ia sebahagian jalan yang tidak melalui Brunei, iaitu sebahagian projek Sarawak Sabah Link Road (SSLR).
“Kita berharap ia dapat dilaksanakan tahun depan dan saya difahamkan sudah sedia untuk ditender. Kita berharap ia dapat dilaksanakan,” katanya.
Pada majlis itu sumbangan berjumlah RM138,000 diagihkan untuk 29 kawasan Kelabit, Penan dan Iban di kawasan Batu Danau.
Oleh ADENG EDRUS
Keterangan gambar
KONGSI REZEKI…Paulus (duduk tiga kiri), Kenneth dan tetamu lain bergambar bersama penerima sumbangan Krismas dari Syarikat Lee Ling Timber.