SIBU: Pelaksanaan projek menaik taraf Jalan Kiong Tung yang menelan kos kira-kira RM500,000 akhirnya bermula bagi menyelesaikan masalah banjir di kawasan terbabit.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng berkata, projek menaik taraf jalan sepanjang 674 meter itu adalah projek dalam senarai utamanya tahun ini.
Katanya, projek menaik taraf itu adalah termasuk meninggikan jalan, menurap dan pembinaan dua pembentung.
“Jalan ini sangat penting kepada orang ramai kerana jalan pintas menghubungkan Jalan Oya sehingga ke Hann’s Residence.
“Jalan ini adalah jalan persendirian, saya masih ingat ia pernah diturap oleh mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew. Bagaimanapun, kerana ia jalan persendirian, Majlis Perbandaran Sibu (MPS) tidak boleh melakukan penyelenggaraan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis penyerahan projek menaik taraf jalan tersebut oleh MPS kepada pihak kontraktor di sini hari ini.
Katanya, MPS hanya boleh meletakkan batu kelikir, tetapi ia tidak membantu menyelesaikan masalah itu terutama banjir yang berterusan.
“Saya berharap projek ini dapat disiapkan dalam tempoh sebulan agar dapat digunakan apabila sekolah dibuka semula.
“Saya menggesa penduduk yang tinggal berhampiran supaya membantu memantau perkembangan projek ini,” katanya.
Chieng akan menyelenggara jalan tersebut setiap tahun kerana ia adalah antara jalan utama.
“Saya juga akan menulis surat cadangan kepada pihak majlis untuk meletakkan tanda had berat. Jalan ini bukan untuk kenderaan berat dan bukan untuk kegunaan industri,” katanya.
Dalam pada itu, penolong jurutera MPS, Hussin Onn menyerahkan projek menaik taraf jalan tersebut kepada Pengurus M/S Hajjah Enterprise, Nur Ezza Syafawani Salleh, hari ini.
Oleh AKUN GIMAN
Keterangan gambar
UNTUK RAKYAT……Hussin (dua kiri) menyerahkan projek menaik taraf Jalan Kiong Tung kepada Nur Ezza yang disaksikan oleh Chieng.