KUCHING: Pemasangan lampu isyarat di tiga bulatan di Kota Samarahan dan dua di Kuching diharap boleh disegerakan dalam usaha menyuraikan masalah kesesakan di situ.
Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Dato Peter Minos berkata pihaknya gembira kerana kontraktor Jabatan Kerja Raya (JKR) berusaha ke arah itu.
“Saya, seperti yang lain, mahu lampu isyarat di kawasan bulatan siap segera, jika boleh sebelum November 2023.
“Mereka (kontraktor) telah cuba sedaya upaya sebelum musim tengkujuh berterusan. Mereka juga perlu menyiapkan kerja-kerja ini selewat-lewatnya pada November tahun depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dengan pembinaan projek pemasangan lampu isyarat itu, sudah tentu menyulitkan pengguna jalan raya.
“Saya tinggal di Kota Samarahan dan saya tahu bagaimana keadaannya tetapi saya perlu bersabar dan menanggung kesulitan,” katanya.
Bagaimanapun katanya, MPKS amat gembira kerana JKR dan kontraktor telah mempercepatkan kerja, dengan semua tenaga kerja dan jentera telah dikerah.
Oleh NUR AIN OTSMAN